MBS sita premis proses organ haiwan punca sungai berbau

LocalEnvironment
2 Sep 2026 • 9:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MBS sita premis proses organ haiwan punca sungai berbau

Image from: MBS sita premis proses organ haiwan punca sungai berbau

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengarahkan penutupan sebuah premis memproses makanan ikan di Kampung Kayu Ara, Mambau, di sini, selepas didapati membuang sisa cecair ke dalam anak sungai hingga menyebabkan pencemaran bau busuk.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima pihaknya berhubung pencemaran air sungai dan kacau ganggu bau di kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS pada 30 dan 31 Ogos lalu mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti memproses organ dalaman haiwan untuk dijadikan makanan ikan.

“Pemeriksaan mendapati premis tersebut dimiliki warga tempatan dan dikendalikan dua lelaki warga asing dari Myanmar yang merupakan pemegang kad UNHCR. Pemilik premis bagaimanapun tidak berada di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan.

“Aduan yang diterima didapati benar apabila kedua-dua operator berkenaan dikesan membuang sisa cecair ke dalam anak sungai berhampiran,” katanya.

Masri berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu kompaun kerana premis berkenaan beroperasi tanpa lesen, selain menyita sebuah pemampat air, sebuah motor induksi dan tiga fius bagi menghentikan operasinya.

“Notis arahan memberhentikan operasi dan penutupan premis turut dikeluarkan serta ditampal di premis berkenaan, selain pita sita MBS dipasang di lokasi.

“Semua barang sitaan telah disimpan di Stor MBS, Jalan Labu,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pemeriksaan susulan yang dijalankan pada pukul 11.40 pagi semalam mendapati premis terbabit mematuhi arahan notis untuk memberhentikan operasi.

“Dua warga asing terbabit juga tiada di lokasi ketika pemeriksaan susulan dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan susulan itu turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Unit Forensik dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“JAS melalui Unit Forensik sedang menjalankan siasatan dan pemantauan di sekitar lokasi aduan, manakala Jabatan Imigresen Malaysia tidak melakukan sebarang tangkapan kerana kedua-dua warga asing terbabit sudah tiada di lokasi.

“MBS turut membuat laporan polis berhubung tindakan sitaan yang dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan penduduk di Kampung Kayu Ara, Mambau di sini berdepan bau busuk setiap hari dipercayai berpunca daripada aliran air dari kawasan persendirian ke sungai berhampiran rumah mereka. – UTUSAN

The post MBS sita premis proses organ haiwan punca sungai berbau appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved