MBSB Research: Kenaikan harga makanan punca inflasi Mei 2026 cecah paras tertinggi sejak Ogos 2023

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MBSB Research: Kenaikan harga makanan punca inflasi Mei 2026 cecah paras tertinggi sejak Ogos 2023 Image from: MBSB Research: Kenaikan harga makanan punca inflasi Mei 2026 cecah paras tertinggi sejak Ogos 2023 amree22/06/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun — Risiko inflasi yang lebih tinggi terus menghimpit rakyat susulan kenaikan harga makanan global dipengaruhi isu ketegangan geopolitik di Timur Tengah, kata MBSB Research.

 

Menurut analisis firma penyelidikan tersebut, jangkaan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut berisiko boleh meningkatkan kos sara hidup dalam tempoh terdekat.

 

Situasi itu mengakibatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Mei 2026 meningkat kepada 2.0% tahun ke tahun (YoY), berbanding 1.9% pada April 2026, sekali gus kadar tertinggi sejak Ogos 2023.

 

 

 

 

 

"Kami mendapati peningkatan inflasi didorong terutama kenaikan kos tenaga global berikutan konflik semakin memuncak di Timur Tengah, selain inflasi makanan terus meningkat," jelas MBSB Research.

 

Keadaan tersebut ujarnya, turut menyebabkan inflasi bukan makanan kekal tinggi pada kadar 2.3% YoY dengan komponen perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain mencatatkan peningkatan 1.2%.

 

Pada masa sama tambahnya dalam nota tersebut, inflasi makanan pula didapati meningkat kepada kira-kira 1.4% berbanding hanya 1.2% pada April lalu, didorong oleh kenaikan harga makanan di rumah.

 

inflasi_DagangNews2026

 

Bagaimanapun MBSB Research berkata, tekanan harga asas kekal stabil apabila inflasi teras tidak berubah pada 2.0%, mencerminkan tekanan permintaan domestik sebenarnya dilihat masih lagi terkawal.

 

"Kami namun memberi amaran harga makanan global terus naik buat bulan ketiga berturut-turut, dipacu kenaikan harga bijirin dan ayam, serta gangguan rantaian bekalan dan kos penghantaran," menurutnya.

 

Selain itu, lonjakan harga baja dan urea akibat konflik di Timur Tengah dilihat risiko utama kepada harga makanan memandangkan lebih satu pertiga perdagangan baja dunia perlu melalui Selat Hormuz.

 

Tambah MBSB Research, Indeks Harga Pengeluar (PPI) turut melonjak ketara kepada 5.4% pada April 2026 berbanding 1.1% pada Mac 2026, menandakan tekanan kos di peringkat pengeluar semakin ketara.

 

Ujar firma berkenaan, peningkatan kos pengeluaran yang lebih pantas berbanding inflasi pengguna berpotensi menyebabkan sebahagian kos tersebut dipindahkan kepada pengguna rantaian akhir.

 

 

 

 

 

 

 

 

"Justeru kami mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan pada 2.0% bagi 2026 berbanding 1.4% pada 2025, dengan subsidi bahan api dan langkah kerajaan dijangka memainkan peranan penting," katanya.

 

MBSB Research namun berpandangan risiko inflasi masih cenderung meningkat jika konflik geopolitik berlarutan dan harga tenaga global kekal tinggi untuk tempoh yang lebih panjang. - DagangNews.com

Terkini featured standard