MBSB Research: Permintaan hartanah semakin perlahan disebabkan tekanan inflasi jejaskan kuasa beli pengguna

Business & FinanceProperty
7 Sep 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MBSB Research: Permintaan hartanah semakin perlahan disebabkan tekanan inflasi jejaskan kuasa beli pengguna Image from: MBSB Research: Permintaan hartanah semakin perlahan disebabkan tekanan inflasi jejaskan kuasa beli pengguna amree07/09/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept — Tekanan inflasi dan peningkatan perbelanjaan isi rumah dijangka terus mengekang kuasa beli pengguna, sekali gus menyebabkan permintaan hartanah semakin perlahan dan momentum jualan pemaju berkembang lebih rendah dalam tempoh terdekat, menurut MBSB Research.

 

Firma itu berkata, walaupun trend permintaan hartanah kekal stabil setakat Julai 2026, keadaan tersebut belum cukup untuk menjadi pemangkin kukuh kepada prestasi sektor hartanah dalam tempoh terdekat.

 

Jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat 11.2% bulan ke bulan (MoM) kepada RM62.9 bilion pada Julai 2026, selepas hanya mencatat pertumbuhan marginal 0.1% pada Jun 2026.

 

"Peningkatan pada bulan itu mencerminkan aktiviti permohonan pinjaman yang kembali normal selepas terganggu oleh cuti sekolah serta cuti umum pada Mei dan Jun," kata MBSB Research dalam notanya.

 

Secara tahunan, jumlah permohonan hampir tidak berubah dengan pertumbuhan 0.6% tahun ke tahun (YoY), menjadikan jumlah terkumpul tujuh bulan 2026 sebanyak RM382.5 bilion, meningkat 2.2% YoY.

 

Kelulusan pinjaman namun masih menunjukkan pertumbuhan sederhana apabila jumlah pinjaman diluluskan naik 12.8% MoM kepada RM27.1 bilion pada Julai, manakala kadar kelulusan kekal sekitar 43%.

 

Secara kumulatif ujar MBSB Research, jumlah pinjaman diluluskan bagi tujuh bulan 2026 sebenarnya hampir tidak berubah kepada RM162 bilion, dengan pertumbuhan hanya kira-kira 0.4% YoY.

 

sektor hartanah_DagangNews2026

 

"Kami melihat keadaan itu sebagai petunjuk bahawa prospek jualan baharu pemaju berkemungkinan kekal sederhana dalam tempoh yang terdekat," jelas firma penyelidikan tersebut.

 

Dari sudut keuntungan, prestasi pemaju hartanah pula menunjukkan gambaran bercampur dengan daripada tujuh syarikat di bawah liputannya, empat mencatat keputusan dalam jangkaan, satu mengatasi jangkaan manakala dua lagi tidak mencapai jangkaan.

 

IOI Properties Group menjadi antara yang mencuri perhatian selepas prestasinya mengatasi jangkaan, disokong pengiktirafan jualan tanah di Ampang. Sebaliknya, SP Setia dan UOA Development Group mencatat keputusan lebih lemah berikutan penyusutan margin pada separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26).

 

MBSB Research berkata, secara umum, keuntungan syarikat hartanah meningkat secara suku tahunan berikutan pemulihan bil tuntutan kemajuan pada suku kedua (2QFY26), manakala jualan hartanah turut bertambah baik selepas prestasi lebih perlahan pada 1QFY26 akibat tempoh perayaan.

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor hartanah kerana kekurangan pemangkin kukuh dalam tempoh terdekat yang mampu meningkatkan prestasi secara ketara, walaupun keterlihatan hasil masih disokong saluran projek dan jualan belum dibilkan yang sihat," katanya.

 

Bagi pilihan utama sektor, MBSB Research memilih Matrix Concepts dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.55, IOI Properties Group (beli, RM4.64) dan Mah Sing Group (beli, RM1.40).

 

Matrix Concepts dilihat menarik menerusi pembangunan MVV City serta sumbangan berterusan projek Sendayan dan Lembah Klang, manakala IOI Properties mendapat sokongan daripada penjanaan nilai tanah.

 

Mah Sing pula ujar MBSB Research dijangka menikmati prospek pendapatan yang sihat hasil pengiktirafan hasil secara berperingkat daripada jualan kukuh projek M Series. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved