MBSB Research: Perniagaan radio frekuensi berpotensi tingkatkan 50% untung Inari mulai FY27

Business & Finance
20 Jul 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MBSB Research: Perniagaan radio frekuensi berpotensi tingkatkan 50% untung Inari mulai FY27 Image from: MBSB Research: Perniagaan radio frekuensi berpotensi tingkatkan 50% untung Inari mulai FY27 amree20/07/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 JulaiMBSB Research melihat Inari Amertron Berhad berada di titik perubahan penting dengan menjangka prestasi syarikat kembali berkembang mulai tahun kewangan 2027 (FY27).

 

Momentum baharu itu ujarnya, berikutan prospek lebih kukuh dalam perniagaan frekuensi radio (RF), meskipun berdepan cabaran penyusutan keuntungan selama empat tahun berturut-turut sebelum ini.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, pertumbuhan pesat segmen optoelektronik turut dijangka menerima manfaat secara langsung daripada permintaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi optik.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Inari Amertron dan harga sasaran (TP) masih RM2.95 kerana percaya ia di fasa permulaan kitaran pertumbuhan baharu," jelas MBSB Research.

 

Menurutnya, perniagaan RF kekal menjadi asas hasil selepas beberapa pelanggan memeterai perjanjian berbilang tahun, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap kesinambungan rantaian bekalan cip RF.

 

Selain itu, model telefon pintar generasi baharu dijangka meningkatkan lagi kandungan komponen RF, dengan empat litar berbanding hanya satu, dan menyokong peningkatan nilai kandungan setiap peranti.

 

Inari_DagangNews2026

 

Peralihan teknologi Inari Amertron itu ujar MBSB Research, membolehkan banyak komponen dalam ruang kecil serta meningkatkan integrasi modul RF kepada teknologi pembungkusan semikonduktor termaju.

 

"Kami melihat segmen optoelektronik bakal memacu pertumbuhan susulan peningkatan ketara permintaan terhadap silikon fotonik bagi menyokong pembangunan pusat data (DC) dan infrastruktur AI," katanya.

 

Kumpulan itu berada pada kedudukan strategik dalam rantaian bekalan sebagai penyedia perkhidmatan pemasangan serta ujian penyumberan luar semikonduktor (OSAT) bagi cip modul penghantaran optik.

 

Pada masa sama jelas MBSB Research, Inari Amertron beralih daripada pembungkusan cip laser kepada teknologi penghantaran data menggunakan cahaya antara cip dan pemproses jalur lebar lebih tinggi.

 

Ia turut mengembangkan penyertaan dalam ekosistem AI menerusi pembangunan modul pengurusan tenaga, namun sumbangan pendapatan signifikan daripada segmen itu dijangka hanya bermula FY28.

 

"Sehubungan itu, kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan dan optimis FY27 akan menjadi titik perubahan dengan pertumbuhan keuntungan 50% tahun ke tahun (YoY)," tambahnya.

 

Secara keseluruhan ujar MBSB Research, pemulihan perniagaan RF serta ledakan permintaan terhadap teknologi fotonik dan aplikasi AI bakal menjana hasil jangka sederhana Inari Amertron.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved