TAPAH - MCA menyumbang RM2,000 bagi membantu membina semula jambatan kayu yang uzur di Kampung Lubuk Gaharu, lokasi penemuan pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon berkata, sumbangan itu diberikan selepas meninjau sendiri keadaan kemudahan tersebut yang uzur dan tidak lagi selamat digunakan.
“Saya lihat sendiri jambatan itu sudah rosak, banyak kayu telah pecah dan berlubang, memang nampak bahaya. Saya dimaklumkan jambatan itu dibina sendiri oleh penduduk kira-kira dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tapah di sini pada Selasa.
Menurutnya, pembinaan baharu itu nanti akan menggunakan bahan lebih tahan lama seperti palet bagi memastikan jambatan tersebut lebih kukuh dan tidak mudah rosak.
Katanya, berdasarkan maklumat penduduk, kos untuk membina semula jambatan menyeberangi Sungai Woh itu dianggarkan sekitar RM2,000.
“Jadi saya secara peribadi bersetuju untuk menyalurkan sumbangan itu supaya mereka dapat membina semula jambatan baharu dengan segera,” katanya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu berkata, isu keperluan jambatan gantung bukan hanya tertumpu di Kampung Lubuk Gaharu, sebaliknya turut melibatkan beberapa perkampungan Orang Asli lain.
“Di kawasan seperti Sungai Rensak juga menghadapi masalah sama kerana kebanyakan penempatan berada di satu sisi sungai, manakala sumber rezeki seperti kebun, hasil hutan dan juga tanah perkuburan terletak di seberang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian jangka panjang termasuk perancangan pembinaan jambatan di kawasan terlibat.
Keadaan jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu mendapat perhatian di media sosial susulan paparan video lokasi penemuan yang disiarkan Sinar Harian.
Rata-rata mereka mengharapkan, sebuah jambatan baharu yang lebih selamat dan kukuh dapat dibina demi keselamatan dan keselesaan penduduk.
Terdahulu, Tok Batin Kampung Lubuh Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah memaklumkan, jambatan tersebut dibina sejak dua tahun lalu menggunakan bahas asas seperti papan dan buluh.
Sebelum ini, penduduk terpaksa menyeberangai sungai, namun kini, jambatan berkenaan menjadi laluan utama kira-kira lebih 100 keluarga dari suku Semai untuk ke kebun dan hutan bagi mencari sumber rezeki.
Pada Sabtu, Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei, ditemui dalam keadaan selamat selepas dilihat berjalan seorang diri di atas jambatan di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh, Tapah.
Kehadiran itu disedari penduduk Orang Asli, Nazri Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, yang sedang memancing sekitar jam 5.10 petang.





