MCCC puji tindakan pantas polis tumpaskan penjenayah samun guna teksi

18 Nov 2026 • 9:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MCCC puji tindakan pantas polis tumpaskan penjenayah samun guna teksi

PETALING JAYA – Tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan lelaki yang disyaki terbabit dalam 24 kes samun menggunakan teksi di ibu negara wajar dipuji bagi memastikan penjenayah tidak terus bermaharajalela.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang, Daniel Khoo Jian Woon berkata, kegiatan samun dan rompakan tidak boleh dipandang ringan kerana bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan harta benda, malah boleh mengancam nyawa.

Menurutnya, kejayaan polis menumpaskan suspek yang maut ditembak dalam serbuan di Chow Kit awal pagi tadi membuktikan kesungguhan pihak berkuasa membanteras jenayah.

“Kita perlu puji tindakan pantas PDRM. Kita tidak boleh pandang ringan dan tidak boleh biarkan kegiatan samun serta rompakan berlaku sewenang-wenangnya.

“Keselamatan masyarakat perlu menjadi keutamaan. Apabila penjenayah semakin berani menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya mangsa, tindakan tegas dan pantas perlu diambil bagi memastikan mereka tidak terus mengancam keselamatan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian suspek yang maut ditembak selepas dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis ketika serbuan di sebuah bilik di Chow Kit kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Daniel yang juga Pengerusi Biro Jenayah Jalan Raya Skuad Sahabat JPJ Malaysia berkata, modus operandi suspek menyamar sebagai pemandu teksi untuk mencari mangsa merupakan perkara serius kerana menyalahgunakan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan.

Katanya, pengusaha teksi perlu memastikan identiti dan dokumen pemandu sah selain menyediakan rekod perjalanan yang mudah disemak bagi membantu pihak berkuasa sekiranya berlaku jenayah.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan golongan wanita, warga emas dan individu yang bergerak bersendirian supaya berkongsi maklumat perjalanan serta nombor pendaftaran kenderaan dengan ahli keluarga.-KOSMO! ONLINE

The post MCCC puji tindakan pantas polis tumpaskan penjenayah samun guna teksi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved