Suspek Samun Penumpang Teksi Maut Ditembak Polis, 24 Kes Samun Selesai

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 11:33 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Suspek Samun Penumpang Teksi Maut Ditembak Polis, 24 Kes Samun Selesai

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam 24 kes samun penumpang teksi di sekitar ibu negara maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam satu operasi serbuan di sebuah hotel di Chow Kit, awal pagi tadi.

Operasi kira-kira jam 2 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kuala Lumpur dengan bantuan anggota Bukit Aman, susulan tindakan polis mengesan suspek yang dipercayai bersembunyi di sebuah bilik hotel berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek yang bersenjatakan pistol bertindak melepaskan tembakan ke arah pasukan polis sebaik menyedari kehadiran anggota polis.

“Suspek melepaskan beberapa das tembakan ketika serbuan dijalankan, menyebabkan polis terpaksa membalas bagi mempertahankan diri.

“Keadaan berbalas tembakan berterusan sehingga ancaman keselamatan berjaya dikawal,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian kemudian mengesahkan suspek telah meninggal dunia.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk senjata api serta bahan disyaki dadah jenis syabu dari bilik hotel berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan turut disenaraikan sebagai individu polis.

Menurut Fadil, suspek dipercayai menggunakan teksi sebagai penyamaran sebelum menyasarkan penumpang untuk disamun, khususnya wanita, warga emas serta individu yang dianggap mudah menjadi mangsa.

Dengan kematian suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan 24 kes samun yang dilaporkan sebelum ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti serta mengesan suspek lain yang dipercayai turut terbabit dalam setiap kes samun berkenaan. - Getaran, 18 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved