McDonald’s cipta memori manis bersama anak rumah kebajikan

19 Oct 2026 • 7:27 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: McDonald’s cipta memori manis bersama anak rumah kebajikan

Bukan hadiah mahal yang menjadi ukuran kegembiraan, sebalik­nya perhatian dan peluang merasai pengalaman diraikan sudah cukup membuatkan anak-anak rumah kebajikan tersenyum bahagia.

Bagi mereka, sambutan hari jadi bersama rakan-rakan, menerima hadiah dan menyertai aktiviti ­menyeronokkan membawa makna tersendiri apabila berpeluang me­rasai pengalaman istimewa.

Keceriaan itu jelas terpancar pada wajah anak-anak dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Persa­tuan Kanak-Kanak Trinity Selangor dan Yayasan Sunbeams Home yang diraikan sempena Bulan Komuniti Mekdi di McDonald’s Pandu-Lalu Seksyen 3, Shah Alam baru-baru ini.

Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif McDo­nald’s Malaysia yang memasuki tahun ke-10 dalam usaha mendekati masyarakat dan berkongsi kegembiraan dengan komuniti di sekitar restorannya.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, usaha mendekati masyarakat dan menyumbang kepada kesejahte­raan komuniti sentiasa menjadi antara teras utama syarikat itu.

“Sepanjang 10 tahun Bulan Komuniti Mekdi, pasukan restoran kami meluangkan masa bersama anak-anak dan penjaga mereka, selain membina hubungan dengan rumah kebajikan di sekitar restoran.

“Kami mahu terus menjadi jiran yang prihatin dan sentiasa hadir untuk masyarakat,” katanya.

Menurut Azmir, program itu turut memberi peluang kepada anak-anak yang mungkin belum pernah merasai sambutan hari jadi untuk menikmati pengalaman berkenaan bersama rakan-rakan.

Program itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon Diana Da­nielle selain doktor yang juga pempengaruh, Dr. Shazril Shaharuddin atau dikenali sebagai ‘Dr Say’.

Image from: McDonald’s cipta memori manis bersama anak rumah kebajikan
Sebahagian daripada kanak-kanak diraikan dengan kehadiran pengurusan kanan dan selebriti pada sambutan Bulan Komuniti Mekdi di McDonald’s Pandu Lalu Seksyen 3, di Shah Alam baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, lebih 100 restoran McDonald’s di seluruh negara mengambil bahagian tahun ini dengan menyantuni lebih 140 rumah kebajikan menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, syarikat itu turut me­laksanakan lebih 10,000 program komuniti setiap tahun, termasuk pelbagai inisiatif bersama rumah kebajikan.

“Sempena ulang tahun ke-10 ini, kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza dengan memberi peluang kepada anak-anak mempelajari kemahiran baharu, termasuk meraikan hari jadi rakan mereka.

“Antara aktiviti yang diadakan ialah bengkel menghasilkan video, seni dan kraf bagi menghasilkan buah tangan untuk rakan-rakan mereka,” ujarnya.

Video dan hadiah hasil kreativiti anak-anak itu turut menjadi sebahagian daripada sambutan berkenaan, sekali gus memberikan sentuhan peribadi kepada majlis dan mengeratkan hubungan sesama mereka.
Melati berkata, anak-anak di rumah kebajikan datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk yatim piatu, keluarga asnaf dan B40 serta mereka yang mempunyai keperluan pendidikan khas.

“Apabila anak-anak ini gembira, lebih mudah untuk kita mendidik mereka kerana mereka berasa diingini, diraikan dan disayangi,” katanya.

Sempena Bulan Komuniti Mekdi, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) turut menyalurkan sumbangan tunai RM5,000 kepada tiga rumah kebajikan pada majlis tersebut bagi membantu memenuhi keperluan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaludin Wahab berkata, pusat berkenaan menempatkan 115 penghuni berusia antara tiga bulan hingga 17 tahun, dengan 24 daripada mereka diraikan sempena sambutan hari jadi itu.

“Apabila ada pihak datang me­luangkan masa dan meraikan hari jadi mereka, anak-anak ini berasa amat terharu.
“Peluang mencuba aktiviti baharu dan bergembira bersama rakan-rakan menjadikan sambutan ini lebih bermakna.

“Kami berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia atas perhatian serta sokongan yang diberikan,” katanya.

Jelas Jamaludin, McDonald’s sebelum ini turut membawa 30 ­penghuni rumah kebajikan ber­kenaan membeli-belah sempena hari raya, sekali gus menceriakan kehidupan anak-anak di bawah ja­gaan mereka.

Bagi Nur Aqila Najihah Mohd. Malek, 12, yang sudah empat tahun menetap di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, teruja apabila berpe­luang menyertai pelbagai aktiviti dan menerima hadiah.

“Saya seronok hari ini sebab dapat sertai aktiviti dan dapat hadiah. Saya rasa dihargai dan disayangi apabila ada orang datang meraikan kami,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post McDonald’s cipta memori manis bersama anak rumah kebajikan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved