MGB mahu bayar RM7.23 juta, sambung semula projek pangsapuri tertangguh

23/04/2025 - 11:15
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 April - MGB Bhd merancang untuk menyelesaikan bayaran sebanyak RM7.23 juta kepada rakan usaha sama, Aset AZG Sdn Bhd (AASB), bagi memulakan semula projek pangsapuri perkhidmatan di Cameron Highlands yang tertangguh sejak enam tahun lalu.
MGB memaklumkan, anak syarikatnya, Sinaran Kencana Sdn Bhd (SKSB), telah menandatangani perjanjian penyelesaian dengan AASB untuk melunaskan baki kos tanah serta faedah yang dipersetujui atas kelewatan pembangunan tanah pajakan seluas 1.884 ekar itu.
"Jumlah RM7.23 juta itu merangkumi bayaran penuh kos tanah sebanyak RM11.45 juta yang sebelum ini telah dibayar oleh AASB, pemilik tanah berkenaan.
"SKSB akan membuat bayaran tersebut melalui gabungan unit hartanah bernilai RM1.59 juta dan tunai sebanyak RM5.5 juta," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Penyelesaian itu membolehkan MGB memulakan proses mendapatkan kelulusan dan melancarkan projek tersebut pada suku ketiga tahun ini.
Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.
Perjanjian usaha sama asal dimeterai pada Ogos 2019 untuk membangunkan tanah tersebut menjadi blok pangsapuri perkhidmatan.
Ketika itu, nilai pembangunan kasar (GDV) projek dianggarkan sekitar RM107 juta.
Namun, sehingga kini, pembangunan di tanah berkenaan masih belum dimulakan. - DagangNews.com
standard

