
MCMC menggesa orang ramai memadamkan dan menghentikan penyebaran video insiden senjata di sebuah sekolah di Kuching bagi melindungi privasi kanak-kanak.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa individu yang memuat naik atau berkongsi rakaman video kejadian melibatkan senjata berbahaya di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak supaya segera memadamkan kandungan berkenaan.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyebaran rakaman yang memaparkan unsur keganasan, khususnya melibatkan kanak-kanak, bukan sahaja boleh menjejaskan privasi dan maruah pihak terlibat, malah memberikan kesan terhadap kesejahteraan emosi mereka serta keluarga.
Menurut suruhanjaya itu, tindakan mendedahkan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
“Penyebaran kandungan sedemikian juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], sekiranya melanggar peruntukan undang-undang berkenaan,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan penyedia platform media sosial bagi membendung penyebaran rakaman itu, termasuk mengambil langkah menurunkan kandungan berkaitan.
Sehubungan dengan itu, MCMC mengingatkan orang ramai termasuk pengamal media supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula video insiden berkenaan bagi melindungi privasi kanak-kanak dan mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa.






![[VIDEO] Aksi ‘hero’ peluk suspek, selamatkan guru diserang di kelas](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-22-at-8.46.51-AM-1024x580.jpeg)