SKMM teliti laporan Anthropic berkaitan manipulasi pilihan raya

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 10:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SKMM teliti laporan Anthropic berkaitan manipulasi pilihan raya

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandang serius laporan terkini yang diterbitkan oleh Anthropic dan sedang meneliti perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkara yang dinyatakan dalam laporan itu, bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat SKMM dan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang digambarkan dalam laporan tersebut.

“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat SKMM.

"SKMM juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” menurut kenyataan SKMM.

Terdahulu, media melaporkan sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat, Anthropic, mendedahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti dan menyingkirkan satu akaun yang menggunakan platform AI Claude, untuk mengendalikan sebuah platform manipulasi pilihan raya secara komersial yang menyasarkan pengguna di Malaysia.

Dalam laporan yang diterbitkan pada 10 September, syarikat itu mengesan rangkaian yang terdiri daripada kira-kira 1,000 akaun media sosial palsu di X, sebuah portal berita palsu serta beberapa dossier atau fail risikan yang direka-reka.

SKMM dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan, bagi memastikan fakta sebenar dan memahami konteks isu yang dibangkitkan.

“Berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, SKMM akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

SKMM dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa usaha melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian, kekal menjadi teras tanggungjawabnya.

“SKMM akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved