MCMC ‘perisai’ pengguna daripada ancaman siber – Fahmi

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 10:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MCMC ‘perisai’ pengguna daripada ancaman siber – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai alat politik untuk menyekat kebebasan bersuara mana-mana pihak terutamanya di platform media sosial, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sebaliknya, beliau berkata, MCMC adalah platform penting untuk kerajaan mengawal selia medium media sosial yang ada di negara ini bagi menjamin keselamatan rakyat di ruangan digital.

“Ramai salah faham, contohnya mengenai penurunan kandungan di platform media sosial seperti di Facebook, ia bukan seorang menteri yang putuskan, bukan Fahmi Fadzil, bukan MCMC tetapi tindakan platform itu sendiri.

“MCMC adalah alat untuk (keselamatan) rakyat… mereka ada mengadu tentang buli siber, tentang sebaran gambar intim, tentang scam dan banyak lagi… jadi, sebaik mana rakyat mahukan perkhidmatan MCMC maka berkhidmatlah MCMC ini,” katanya ketika menjadi tetamu audio siar The Tiger Show dihoskan wartawan Amin Iskandar hari ini.

Fahmi berkata, sebarang laporan dan aduan yang diterima MCMC akan dipanjangkan kepada penyedia platform untuk tindakan lanjut mengikut Garis Panduan Komuniti media sosial berkaitan serta berlandaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Contohnya kalau saya mengadu kepada MCMC, saya buat aduan sendiri, belum tentu kandungan itu diturunkan, yang menurunkan kandungan tu adalah Facebook, TikTok sekiranya mereka review dan bersetuju sesuatu kandungan itu melanggar undang-undang.

“Sebab itu, katakanlah sekarang MCMC hantar hampir setengah juta permintaan untuk turunkan kandungan, mungkin daripada keseluruhan jumlah itu hanya 90 peratus sahaja yang diturunkan kerana ini tindakan penyedia platform, bukan diputuskan MCMC,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini semua penyedia platform di Malaysia memberikan kerjasama kepada kerajaan terutamanya dalam menangani kandungan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja (3R).

“Namun macam benda satira, yang mengejek dan sebagainya, biasanya platform akan kata ia merupakan kandungan yang tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, mengenai perancangan beliau memastikan platform digital lebih selamat untuk rakyat, Fahmi berkata, misi utama kementerian ketika ini ialah melaksanakan kolaborasi rentas kementerian dalam mengawal selia ekonomi digital yang berpaksikan e-dagang.

“Saya jaga sektor telco, sektor kurier… kita nampak ada aduan daripada pemilik kedai sebab sekarang ini, banyak barang yang dijual tidak berkualiti, tiada pemantauan malah terlalu murah sehingga peniaga-peniaga kita, ramai bumiputera yang sangat terkesan.

“Jadi, saya mahu selesaikan bersama Kementerian Kewangan dan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup),” ujarnya.

Beliau juga berkata, sekiranya tidak bertindak segera, Malaysia akan dilanda lambakan produk terutama elektrik dan elektronik yang tak menepati piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta berisiko kepada pembeli. – BERNAMA

The post MCMC ‘perisai’ pengguna daripada ancaman siber – Fahmi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved