SKMM minta 47,412 kandungan buli siber diturunkan, 81 peratus di TikTok

LocalTechnology
28 Oct 2026 • 6:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SKMM minta 47,412 kandungan buli siber diturunkan, 81 peratus di TikTok

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak 47,412 kandungan bersifat buli siber telah dikenal pasti dan diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak Januari hingga semalam, dengan 81 peratus daripadanya melibatkan platform TikTok.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Facebook merupakan platform kedua tertinggi dengan 12 peratus daripada kandungan buli siber yang dikenal pasti.

“Dari awal tahun hingga semalam, kandungan bersifat buli siber yang dikenal pasti oleh SKMM adalah berdasarkan aduan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara -Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan, di sini hari ini.

Program yang disertai 336 pelajar daripada 122 sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Dalam pada itu, Fahmi berkata SKMM sedang meneliti penyalahgunaan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp dan Telegram, khususnya penggunaan ciri penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption) yang membolehkan kumpulan tertutup diwujudkan tanpa pengetahuan umum.

Beliau berkata terdapat keadaan apabila insiden buli bermula atau berleluasa dalam kumpulan peribadi sedemikian, sekali gus memerlukan perhatian pihak berkuasa.

“Saya juga sedikit risau kerana ada platform ataupun mod komunikasi tertentu seperti aplikasi WhatsApp, Telegram yang bersifat end-to-end encrypted membolehkan kumpulan-kumpulan tertentu diwujudkan tanpa pengetahuan khalayak umum.

“Bukan public groups tapi private groups dan kadangkala isu-isu buli ini bermula ataupun berleluasa berlaku dalam kumpulan-kumpulan seperti ini. Jadi ini antara beberapa perkara yang sedang diteliti, akan dilaksanakan oleh pihak SKMM,” katanya.

Fahmi berkata penelitian itu turut merangkumi penyalahgunaan platform berkenaan untuk tujuan penjualan barangan terlarang termasuk dadah.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata perkara berkenaan perlu diteliti berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

“Penelitian terhadap platform komunikasi peribadi itu masih berjalan dan belum dilaksanakan pada masa ini. Walaupun tidak termasuk dalam ONSA, kita akan tetap beri penelitian berdasarkan kesan yang dibawa platform itu,” katanya.

Beliau berkata perhatian perlu diberikan kepada platform komunikasi sedemikian berdasarkan perbincangan dengan pihak polis serta aduan daripada orang ramai yang diterima berhubung kesan negatif platform terbabit.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved