MCMC turunkan video serangan pelajar terhadap guru di Kuching - Polis

21 Oct 2026 • 9:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MCMC turunkan video serangan pelajar terhadap guru di Kuching - Polis
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Saifullizan Ishak

KUCHING – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan video yang dipercayai disiarkan secara langsung oleh seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ketika menyerang seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di sini pada pagi Rabu.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Saifullizan Ishak mengesahkan video kejadian yang tular di media sosial itu sebelum ini dimuat naik menerusi aplikasi Facebook.

Bagaimanapun, beliau berkata, kandungan video berkenaan telah diturunkan oleh pihak MCMC.

“Pihak MCMC sudah menurunkan kandungan Facebook berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, Saifullizan dalam satu kenyataan mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian membabitkan seorang guru wanita yang cedera selepas dipercayai diserang seorang pelajar di sebuah sekolah swasta di Kuching.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi panggilan kecemasan pada jam 8.03 pagi.

“Maklumat awal mendapati kira-kira jam 8.03 pagi, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat melalui talian MERS 999 berhubung seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan membawa mercun dan mencederakan seorang guru menggunakan kapak.

“Mangsa, seorang guru wanita, dilaporkan mengalami kecederaan luka pada tangan,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.

“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian serta mendapatkan bukti-bukti berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai kejadian tersebut.

“Ini demi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved