hamden17/11/2026 - 11:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov – Shell memulakan pengeluaran daripada medan gas Rosmari dan Marjoram yang terletak 220 kilometer di luar pesisir Sarawak, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran syarikat itu sehingga dekad 2030-an.
Pengeluaran daripada kedua-dua medan berkenaan akan disalurkan melalui sistem paip ke loji gas darat baharu di Bintulu untuk diproses sebelum dibekalkan ke kompleks gas asli cecair (LNG) milik Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Shell dalam satu kenyataan berkata, projek Rosmari-Marjoram dijangka menghasilkan lebih 1.4 juta tong setara minyak sehari pada tahap pengeluaran puncak.
“Shell berbangga dengan sejarah panjang dan kejayaan operasinya di Malaysia,” kata Presiden Huluan Shell, Peter Costello.
“Kami mempunyai kepakaran kukuh di lembangan ini dan permulaan operasi Rosmari-Marjoram menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran sehingga dekad 2030-an.
“Projek ini memanfaatkan pengalaman berdekad-dekad bagi membolehkan bekalan gas baharu dibawa masuk ke pasaran secara cekap dan berdaya saing,” katanya.
Shell merupakan pengendali projek Rosmari-Marjoram dengan pegangan sebanyak 71%.
Rakan kongsi lain dalam projek itu ialah PETRONAS, syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas dari Jepun, Inpex serta SEARAH, usaha sama antara PETRONAS dan syarikat tenaga Itali, Eni.
Selain Rosmari-Marjoram, Shell turut mempunyai kepentingan dalam beberapa medan pengeluaran di luar pesisir Sarawak, termasuk Timi dan Gorek, selain meneroka peluang pembangunan lain yang berpotensi di lembangan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Negara Shell Malaysia, Siti Sulaiman berkata, permulaan pengeluaran daripada Rosmari-Marjoram merupakan pencapaian penting bagi Shell di Malaysia, selain mencerminkan kerjasama erat dengan PETRONAS, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Medan Rosmari dan Marjoram merupakan medan laut dalam yang ditemui pada 2014 dan menghasilkan gas berasid, iaitu gas asli yang mengandungi kandungan hidrogen sulfida yang tinggi.
Kandungan hidrogen sulfida itu perlu disingkirkan di loji gas darat sebelum gas berkenaan disalurkan untuk kegunaan seterusnya. - DagangNews.com






