sarah11/11/2026 - 18:12 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Dialog Group Berhad (Dialog) membuat keputusan pelaburan muktamad untuk membangunkan medan gas Fatimah di Sarawak dengan pelaburan tambahan AS$211 juta (RM885 juta), susulan kejayaan memulakan pengeluaran gas komersial di medan Salbiah pada 27 Oktober 2026.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, pembangunan medan Fatimah merupakan projek kedua kumpulan di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran Aset Medan Kecil Kluster Baram Junior (BJC SFA PSC).
Keputusan pelaburan itu dibuat selepas hasil penggerudian telaga penilaian mengesahkan medan Fatimah berdaya maju secara komersial, sekali gus membolehkan pembangunan diteruskan mengikut pelan yang diluluskan serta syarat kontrak perkongsian pengeluaran berkenaan.
Medan Salbiah mula hasilkan gas komersial
Dialog berkata, pengeluaran gas komersial pertama di medan Salbiah pada 27 Oktober lalu merupakan pencapaian penting bagi perniagaan huluan kumpulan, selain memperkukuh asas pengeluaran gasnya.
Pembangunan medan Salbiah disiapkan selepas memperoleh kelulusan Pelan Pembangunan dan Penutupan Medan (FDAP) pada 8 Januari 2025, manakala kontrak perkongsian pengeluaran Kluster Baram Junior ditandatangani bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd (PSEP) pada 17 Januari 2023.
Kontrak tersebut melibatkan penyertaan Dialog Resources Sdn Bhd bagi tempoh sehingga 14 tahun, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Pelaburan tambahan dijangka sokong pendapatan masa depan
Bagi membiayai pembangunan medan Fatimah, Dialog merancang menggunakan dana dalaman dan/atau pinjaman luar, dengan pecahan sumber pembiayaan akan ditentukan berdasarkan keperluan tunai, tahap hutang, kadar faedah serta keadaan pasaran.
Kumpulan itu menjangkakan pembangunan tambahan tersebut tidak memberi kesan material terhadap keuntungan, aset bersih dan nisbah hutangnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, namun berpotensi menyumbang secara positif kepada pendapatan pada masa depan.
Sementara itu, pengeluaran gas komersial yang telah bermula di medan Salbiah dijangka memberikan sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
Dialog berkata, pembangunan kedua-dua medan gas itu selaras dengan strategi memperluas dan mempelbagaikan perniagaan dalam sektor tenaga merangkumi aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran, selain memperkukuh aliran pendapatan berterusan serta daya tahan kumpulan terhadap perubahan kitaran ekonomi dan harga minyak.- DagangNews.com





