liza02/11/2026 - 14:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – TotalEnergies bakal mengambil alih peranan sebagai operator bagi pembangunan medan gas Lang Lebah (SK410B) dan B14 di luar pesisir Sarawak menerusi perjanjian usaha sama dengan PETRONAS dan dua syarikat tenaga antarabangsa.
PETRONAS dalam satu kenyataan memaklumkan anak syarikatnya, PETRONAS Carigali Sdn Bhd bersama TotalEnergies, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (KUFPEC) dan PTTEP telah memeterai beberapa perjanjian farm-out (FOA) bagi pembangunan medan gas Lang Lebah dan B14 di luar pesisir Sarawak.
Perjanjian itu bertujuan menyokong pembangunan sumber gas secara lebih bersepadu merentasi medan Lang Lebah di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) SK410B dan medan B14 di bawah PSC B14.
Majlis pemeteraian perjanjian itu berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 1 November 2026, sempena Persidangan dan Pameran Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2026.
TotalEnergies pegang 30%, PETRONAS Carigali kekal 20%
Selepas penyelesaian perjanjian itu, pegangan kepentingan dalam setiap PSC akan terdiri daripada TotalEnergies sebanyak 30% sebagai operator, PTTEP (25%), KUFPEC (25%) dan PETRONAS Carigali (20%).
Penyusunan itu akan menyaksikan TotalEnergies menerajui operasi kedua-dua medan, manakala PETRONAS Carigali kekal sebagai rakan usaha sama dengan pegangan 20% dalam setiap PSC.
Bagaimanapun, penyelesaian perjanjian FOA berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia berkaitan.
Pembangunan bersepadu tingkatkan kecekapan projek
Menurut PETRONAS, pendekatan pembangunan bersepadu itu dijangka membolehkan penyelarasan lebih baik antara kedua-dua medan khususnya dari segi perancangan infrastruktur, pembangunan kemudahan serta pengkomersialan sumber gas.
“Penyelarasan operasi dan perancangan pembangunan merentasi kedua-dua PSC itu juga dijangka membantu mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan kecekapan pelaksanaan serta mempercepatkan penyampaian projek.
“Perjanjian berkenaan merupakan pencapaian penting dalam usaha merealisasikan nilai sumber gas di medan Lang Lebah dan B14. Kerjasama itu juga dijangka menyumbang kepada penciptaan nilai jangka panjang untuk Sarawak dan Malaysia menerusi pembangunan sumber gas secara lebih bersepadu,” katanya.
PETRONAS berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusannya untuk membangunkan sumber gas Malaysia secara bertanggungjawab, selain menyokong keselamatan tenaga jangka panjang negara dan mewujudkan nilai mampan kepada industri tenaga serta pihak berkepentingan. - DagangNews.com






