Dua medan gas Dialog di Sarawak dianggarkan miliki rizab 280 bilion kaki padu - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dua medan gas Dialog di Sarawak dianggarkan miliki rizab 280 bilion kaki padu - Penganalisis Image from: Dua medan gas Dialog di Sarawak dianggarkan miliki rizab 280 bilion kaki padu - Penganalisis sarah12/11/2026 - 09:40 Gambar Baram Junior Cluster dari laman web Dialog Group Berhad Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Dua medan gas milik konsortium yang diterajui Dialog Group Berhad (Dialog) di Sarawak, iaitu Salbiah dan Fatimah, dianggarkan mempunyai gabungan rizab gas sebanyak 280 bilion kaki padu (bcf), sekali gus mengukuhkan potensi pertumbuhan jangka panjang perniagaan huluan kumpulan itu.

 

Menurut RHB Research, medan Salbiah dianggarkan mempunyai rizab gas sekitar 140 bcf, manakala medan Fatimah dijangka memiliki jumlah hampir sama berdasarkan perbincangan dengan pihak pengurusan Dialog.

 

Daripada keseluruhan anggaran rizab tersebut, kira-kira 196 bcf boleh dikaitkan dengan kepentingan penyertaan Dialog sebanyak 70% dalam kontrak perkongsian pengeluaran aset medan kecil Baram Junior Cluster (BJC), manakala baki 30% dimiliki Petroleum Sarawak Exploration & Production (PSEP).

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil penilaian medan Fatimah yang memberangsangkan mengesahkan daya maju komersial pembangunan berkenaan, sekali gus membuka laluan kepada peluasan aktiviti pengeluaran gas Dialog di Sarawak.

 

Pelaburan RM860 juta bangunkan medan Fatimah

Dialog telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi pembangunan medan Fatimah dengan jumlah perbelanjaan modal AS$211 juta (RM860 juta), menjadikannya pembangunan kedua di bawah kontrak perkongsian pengeluaran BJC selepas Salbiah.

 

RHB Research menganggarkan bahagian pelaburan Dialog dalam projek itu sebanyak AS$147.7 juta (RM602 juta), berdasarkan kepentingan penyertaannya sebanyak 70%, dengan projek berkenaan dijangka menawarkan kadar pulangan dalaman (IRR) pada paras belasan peratus rendah hingga pertengahan.

 

Menurutnya, prospek pulangan itu mencerminkan potensi projek Fatimah untuk menyumbang kepada aliran pendapatan berterusan kumpulan, walaupun tempoh pembangunan dan tarikh pengeluaran gas pertama masih bergantung kepada pelaksanaan projek.

 

Salbiah dijangka sumbang sehingga 10% keuntungan

Sementara itu, BIMB Securities Research menganggarkan medan Salbiah berpotensi menyumbang antara 5% hingga 10% kepada keuntungan Dialog berdasarkan andaian harga gas AS$5 (RM20.38) bagi setiap juta kaki padu standard (MMSCF) dan kadar pengeluaran sebanyak 40 juta kaki padu standard sehari.

 

Medan Salbiah memulakan pengeluaran gas komersial pada 27 Oktober 2026, sekali gus menandakan peralihan Dialog daripada pembangunan aset huluan kepada pengeluaran yang mampu menjana aliran tunai, dengan sumbangan pengeluaran setahun penuh dijangka direkodkan pada tahun kewangan berakhir Jun 2028.

 

RHB Research berpandangan pembangunan kedua-dua medan itu akan mengukuhkan asas pengeluaran gas Dialog dan mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan, selain menyokong strategi pengembangan dalam segmen huluan, pertengahan dan hiliran industri tenaga.

 

BIMB Securities mengunjurkan keuntungan teras Dialog meningkat daripada RM617 juta bagi tahun kewangan berakhir Jun 2026 kepada RM677 juta pada 2027, sebelum meningkat kepada RM697 juta pada 2028 dan RM775 juta pada 2029, manakala RHB Research menganggarkan keuntungan bersih berterusan mencecah RM727 juta menjelang 2029.

 

Kedua-dua firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli' terhadap Dialog, dengan RHB Research menetapkan harga sasaran RM2.44 sesaham dan BIMB Securities pada RM2.40, masing-masing mencerminkan potensi kenaikan 27.7% dan 25.7% berbanding harga rujukan RM1.91.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved