sarah10/11/2026 - 09:03 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Pelaksanaan skim insurans perubatan asas MediAsas mulai Januari 2027 berpotensi menarik semula sebahagian daripada kira-kira 340,000 individu yang menyerahkan polisi insurans perubatan swasta antara Januari 2024 hingga Jun 2025, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu kepada pengendali hospital swasta.
RHB Investment Bank berkata, skim itu menyasarkan golongan berpendapatan sederhana (M40) yang semakin terbeban dengan peningkatan kos perlindungan perubatan, selain menawarkan pilihan perlindungan lebih mampu milik berbanding pelan insurans konvensional.
Menurut firma penyelidikan itu, MediAsas turut membolehkan pembayaran premium menggunakan simpanan Akaun Sejahtera Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus berpotensi meningkatkan akses kepada rawatan hospital swasta dan menyediakan sumber pembiayaan tambahan kepada sektor penjagaan kesihatan.
RHB berpandangan KPJ Healthcare Berhad berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pelaksanaan skim tersebut berdasarkan rangkaian hospitalnya yang luas di bandar lapis kedua serta kedudukannya dalam segmen perkhidmatan kesihatan pertengahan.
Hospital swasta perlu tingkat kecekapan operasi
Pelaksanaan MediAsas turut memperkenalkan sistem pembayaran berdasarkan kumpulan diagnosis atau diagnosis-related group (DRG), yang menetapkan bayaran rawatan mengikut kategori penyakit dan prosedur, berbanding mengenakan caj secara berasingan bagi setiap perkhidmatan.
RHB berkata, sistem berkenaan dijangka memberi kelebihan kepada hospital komuniti bersaiz sederhana, pusat rawatan khusus dan pusat rawatan harian yang mempunyai struktur kos lebih cekap, manakala pengendali dengan kos operasi tinggi berisiko menghadapi tekanan terhadap margin keuntungan.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan kadar penyertaan pesakit pada peringkat awal masih sederhana berikutan tempoh menunggu dan syarat pengunderaitan insurans, dengan penyertaan hospital dalam rangkaian panel sepanjang November hingga Disember menjadi petunjuk penting sebelum skim dilaksanakan.
Kes asma melonjak, jumlah pesakit hospital dijangka meningkat
Dalam perkembangan berasingan, RHB menjangkakan peningkatan penyakit berkaitan jerebu akan menyokong jumlah pesakit hospital swasta pada suku keempat 2026, selepas kes asma dilaporkan melonjak hampir lapan kali ganda dalam tempoh seminggu, daripada 219 kepada 1,811 kes.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan peningkatan jumlah pesakit berkenaan tidak semestinya membawa pertumbuhan keuntungan yang ketara kerana kebanyakan kes melibatkan rawatan pernafasan yang menjana hasil lebih rendah berbanding prosedur perubatan kompleks.
Kerugian ekonomi akibat jerebu dianggarkan sehingga RM50 juta sehari
RHB turut memetik anggaran luar yang meletakkan kerugian ekonomi akibat jerebu antara RM20 juta hingga RM50 juta sehari sepanjang 2026, dengan sebahagian besar kesan berpunca daripada kehilangan produktiviti dan pendapatan akibat gangguan aktiviti harian serta masalah kesihatan.
Walaupun peningkatan penyakit berkaitan jerebu berpotensi meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan hospital, kesannya kepada ekonomi secara keseluruhan dijangka lebih besar berikutan gangguan terhadap produktiviti tenaga kerja dan aktiviti perniagaan.
RHB mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan IHH Healthcare dan LAC Med sebagai pilihan utama, masing-masing pada harga sasaran RM9.21 dan RM1.16 sesaham, selain mengekalkan saranan 'beli' terhadap KPJ Healthcare dengan harga sasaran RM3.51 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 28.1%.- DagangNews.com





