Pelabur asing kembali beli saham Bursa Malaysia selepas lima minggu, aliran masuk RM318.2 juta - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing kembali beli saham Bursa Malaysia selepas lima minggu, aliran masuk RM318.2 juta - Penganalisis Image from: Pelabur asing kembali beli saham Bursa Malaysia selepas lima minggu, aliran masuk RM318.2 juta - Penganalisis sarah02/11/2026 - 09:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia dengan aliran masuk dana sebanyak RM318.2 juta bagi minggu berakhir 30 Oktober 2026, sekali gus menamatkan aktiviti penjualan bersih selama lima minggu berturut-turut ketika pasaran saham serantau terus berdepan tekanan pengeluaran modal.

 

Menurut laporan 'Weekly Fund Flow' MBSB Research yang diterbitkan hari ini, pelabur asing mencatatkan pembelian bersih pada empat daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk tertinggi sebanyak RM117.4 juta pada Rabu, diikuti RM117.2 juta pada Selasa.

 

Aliran masuk turut dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM68.6 juta dan Khamis RM32.3 juta, manakala Isnin menjadi satu-satunya hari mencatatkan penjualan bersih berjumlah RM17.3 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor perkhidmatan kewangan menerima aliran masuk asing tertinggi sebanyak RM437.1 juta, diikuti pengangkutan dan logistik RM169.5 juta serta pembinaan RM73.4 juta, menunjukkan minat pelabur asing terhadap sektor utama ekonomi domestik.

 

Sebaliknya, sektor perladangan mencatatkan pengeluaran dana asing terbesar sebanyak RM163.2 juta, diikuti teknologi RM110.9 juta serta produk dan perkhidmatan perindustrian RM102.4 juta.

 

Institusi tempatan jual, pelabur runcit terus membeli

Dalam tempoh sama, institusi tempatan kembali menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM457.7 juta selepas mencatatkan pembelian bersih pada minggu sebelumnya, manakala pelabur runcit meneruskan pembelian bersih untuk minggu ke-10 berturut-turut berjumlah RM134.6 juta.

 

MBSB Research turut melaporkan peningkatan aktiviti dagangan harian purata dalam kalangan pelabur asing sebanyak 8.9% dan pelabur runcit 3.7%, sementara aktiviti institusi tempatan menyusut 6.4% berbanding minggu sebelumnya.

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut mencatatkan kenaikan mingguan sekitar 0.3% untuk ditutup pada 1,615.60 mata pada Jumaat lalu, meskipun pasaran saham global berdepan tekanan akibat kebimbangan terhadap inflasi dan hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

 

Pasaran Asia kehilangan RM17.98 bilion dana asing

Di peringkat serantau, MBSB Research berkata, lapan pasaran saham Asia yang dipantaunya mencatatkan aliran keluar bersih dana asing sebanyak AS$4.43 bilion (RM17.98 bilion) bagi minggu berkenaan, melanjutkan aktiviti penjualan bersih kepada lima minggu berturut-turut.

 

India mendahului aliran masuk dana asing sebanyak AS$1.39 bilion (RM5.64 bilion), diikuti Malaysia dan Thailand, manakala Taiwan mencatatkan pengeluaran terbesar sebanyak AS$5.25 bilion (RM21.31 bilion), disusuli Korea Selatan, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

 

Bagi keseluruhan Oktober, pelabur asing menjual bersih saham Malaysia bernilai RM863.9 juta, sementara lapan pasaran Asia merekodkan aliran keluar terkumpul AS$52.47 bilion (RM212.94 bilion), menandakan pengeluaran modal berterusan untuk bulan kedua berturut-turut.

 

Rakuten Trade jangka aktiviti pembelian terpilih sokong Bursa Malaysia

Sementara itu, Rakuten Trade menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,610 hingga 1,620 mata pada Isnin, disokong aktiviti pembelian saham pada harga rendah, khususnya dalam sektor perbankan, perladangan dan kaunter defensif.

 

Firma pembrokeran itu berkata, pasaran tempatan masih menunjukkan daya tahan meskipun Wall Street mencatatkan penyusutan ketara, dengan Nasdaq merosot 2.86% berikutan kebimbangan terhadap perbelanjaan modal besar berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan prestasi kewangan syarikat teknologi AS.

 

Keputusan kadar faedah AS dan BNM jadi tumpuan

AmBank Economics pula berkata, pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi isyarat bahawa kenaikan kadar faedah tambahan mungkin diperlukan bagi menangani tekanan inflasi, namun pelaksanaannya dijangka dilakukan secara beransur-ansur bagi mengurangkan gangguan terhadap ekonomi dan pasaran kewangan.

 

BIMB Securities Research menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat lebih luas antara 1,610 hingga 1,630 mata dalam tempoh terdekat, dengan keputusan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November, hala tuju dasar monetari AS dan ketidaktentuan geopolitik Asia Barat menjadi faktor utama yang mempengaruhi sentimen pelabur. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved