sarah02/11/2026 - 09:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - Prospek pertumbuhan UEM Sunrise Berhad dijangka semakin kukuh menerusi kerjasama strategik dengan AME Elite Consortium Berhad bagi membangunkan taman perindustrian bernilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion di Gerbang Nusajaya, Johor, menurut RHB Investment Bank Research (RHB Research).
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan beli terhadap UEM Sunrise dengan harga sasaran RM0.77 sesaham, menawarkan potensi kenaikan 61.2% berbanding harga pasaran RM0.48, walaupun sasaran itu diturunkan daripada RM0.86 sebelum ini.
RHB Research berkata, kerjasama tersebut dijangka meningkatkan prospek pertumbuhan dan profil keseluruhan pelan induk Gerbang Nusajaya, memandangkan AME mempunyai rekod prestasi kukuh dalam pembangunan taman perindustrian serta rangkaian pelanggan syarikat multinasional.
Menurutnya, usaha sama dengan pegangan 50:50 itu melibatkan pembangunan tanah pegangan bebas seluas 402 ekar, sekali gus membolehkan UEM Sunrise memanfaatkan kepakaran AME dalam pembangunan dan pengurusan taman perindustrian bertaraf antarabangsa.
Kerjasama itu juga merupakan transaksi pertama UEM Sunrise sejak Shaharul Farez Hassan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif kira-kira setahun lalu, sekali gus menandakan langkah baharu syarikat dalam mengaktifkan bank tanah strategiknya.

Projek RM4 bilion dijangka dilancarkan akhir 2027
RHB Research berkata, pembangunan tersebut merupakan projek perindustrian pertama UEM Sunrise di Gerbang Nusajaya, dengan pelancarannya dijadualkan pada penghujung 2027.
Berbeza dengan pendekatan terdahulu yang tertumpu kepada penjualan tanah, UEM Sunrise kini akan terlibat dalam keseluruhan kitaran pembangunan melalui kerjasama dengan AME, sekali gus berpotensi memperoleh manfaat daripada peningkatan nilai tanah dan pembangunan kawasan berkenaan.
Firma itu berkata, UEM Sunrise juga berpotensi mengekalkan sebahagian hartanah perindustrian yang dibangunkan untuk disewakan, sekali gus membuka peluang penjanaan aliran pendapatan berterusan serta pelupusan aset pada masa hadapan.
Tanah berkenaan akan dinilai pada RM972.1 juta atau RM55.50 sekaki persegi bagi tujuan usaha sama, dengan pembayaran daripada AME dibuat secara berperingkat mengikut kemajuan penyediaan infrastruktur utama, termasuk kira-kira 70% pembayaran yang dijangka tertumpu pada 2027.
RHB Research menganggarkan UEM Sunrise akan merekodkan keuntungan bersih pelupusan sebanyak RM47.4 juta secara berperingkat, namun menurunkan harga sasaran sahamnya kepada RM0.77 bagi mengambil kira tekanan pasaran akibat konflik geopolitik di Asia Barat serta kebimbangan terhadap landskap politik domestik.- DagangNews.com





