
MEKANIK terkenal dengan sifat pemurah, Mohd Yusof Mohd Noor, atau lebih dikenali sebagai Abang Minyak Hitam, berkongsi detik bermakna selepas tujuh tahun berusaha kini berjaya memiliki lori sendiri.
Apa yang paling menonjol bukan hanya kejayaan itu, tetapi penghargaan terbuka kepada isterinya.
Memuat naik video bersama keluarga di dalam lori berkenaan, Mohd Yusof yang mesra disapa Usop berterima kasih kepada suri hatinya dan menegaskan bahawa pencapaian itu adalah hasil usaha bersama.
"Lori kami dah siap, Alhamdulillah, insya-ALLAH. Selama tujuh tahun usaha sama-sama. Terima kasih mama.
"Kalau tiada dia (isteri) mungkin aku tidak di tahap ini. Terima kasih sebab selalu ada masa susah dan senang," kongsinya.

Berkongsi video memaparkan lori yang sudah diubah suai untuk menjual minyak hitam, Mohd Yusof tidak henti mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda syukur.
"Semoga 2026 kami semakin maju, doakan yang baik-baik," titipnya.
Dalam hantaran yang sama, kongsi Usop buat masa ini dia bergerak ke beberapa lokasi untuk menjual minyak hitam dan perkhidmatan.
"Kami dah on pakai lori 27/4/2026, 2 petang sampai 5 petang di Tasik Ikea Damansara dan malam di taman Kota PJ Kota Damansara dari pukul 7 malam sampai 10 malam," titipnya.
Sekadar info, Usop cukup dikenali bukan sahaja mekanik, tetapi insan berhati mulia yang sering tular membaiki motosikal secara percuma, terutamanya orang yang benar-benar memerlukan.
Baru-baru ini, figura berusia 33 tahun itu dan lelaki dibantunya, Dicky Yau menerima pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan Madani daripada Kementerian Perpaduan Negara.
