
CADANGAN menjadikan Melaka sebagai lokasi alternatif Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) pada masa depan membuka persaingan baharu antara negeri bersejarah itu dengan Langkawi yang sudah lebih tiga dekad sinonim dengan acara berprestij berkenaan.
Ia tercetus selepas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan kerajaan sedang meneroka kemungkinan menjadikan Melaka sebagai lokasi alternatif.
Menurut beliau, kawasan Klebang mempunyai potensi kerana kedudukannya yang strategik, selain mempunyai akses kepada kemudahan udara, laut dan jaringan pengangkutan yang lebih mudah dari seluruh negara.
Bagaimanapun, cadangan itu bukan bermaksud LIMA’27 yang dijadualkan berlangsung di Langkawi akan dipindahkan, sebaliknya ia lebih kepada persediaan awal mencari pilihan lokasi lain bagi jangka panjang.
“Apabila kita lihat kapal juga boleh memainkan peranan dan mengambil bahagian, terfikir mungkin jika kawasan ini diperluaskan.
“Kita boleh memindahkannya ke Klebang pada suatu hari nanti. Jika Langkawi didapati tidak lagi sesuai, Melaka boleh dipertimbangkan sebagai lokasi gantian,” katanya.
Melaka mempunyai beberapa kelebihan yang boleh dijadikan sandaran sekiranya diberikan peluang.
Antaranya pengalaman menganjurkan Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam yang menghimpunkan 41 pesawat, helikopter dan dron.
Karnival selama tiga hari itu turut menarik lebih 50,000 pengunjung selain menampilkan persembahan udara.
Selain sektor udara, Melaka turut mempunyai potensi dari sudut maritim apabila enam kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia berlabuh di perairan Klebang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Ia memberi gambaran bahawa Melaka mempunyai elemen penting bagi menyokong penganjuran acara berkaitan pertahanan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebelum ini menyatakan kesediaan negeri itu menjadi tuan rumah LIMA sekiranya diberi peluang.
Ini kerana cabaran Melaka tidak sekadar menyediakan lokasi kerana LIMA bukan hanya acara pertunjukan udara atau pameran kapal perang, sebaliknya melibatkan urusan industri pertahanan, delegasi antarabangsa, pemain aeroangkasa dan maritim serta keperluan logistik berskala besar.
“Melaka memang satu lokasi yang strategik untuk menjadi tuan rumah LIMA tetapi kita juga perlu melihat kemampuan kita,” katanya.
Dalam masa sama, Langkawi mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi kerana LIMA sudah menjadi sebahagian daripada identiti pulau itu sejak 1991.
Pengalaman lebih tiga dekad itu membolehkan Langkawi membina ekosistem tersendiri melibatkan sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan pertahanan antarabangsa.
Kekuatan Langkawi terbukti menerusi penganjuran LIMA’25 apabila acara berkenaan merekodkan kira-kira 450,000 pengunjung selain menghimpunkan ratusan syarikat dari pelbagai negara, pesawat serta kapal dari dalam dan luar negara.
Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Mohd. Omar Mustapha pula berkata, akses ke Langkawi tidak seharusnya menjadi alasan untuk memindahkan LIMA.
Pada masa sama, beliau tidak menafikan Melaka mempunyai hak untuk membangunkan acara maritim dan aeroangkasa bertaraf antarabangsa sendiri.
Bagaimanapun, isu utama yang perlu dinilai kerajaan bukan sekadar soal lokasi, sebaliknya kemampuan sesebuah negeri menyediakan ekosistem terbaik. Akhirnya, persoalan sebenar bukan siapa lebih layak tetapi lokasi yang ada nilai strategik, pulangan ekonomi dan keupayaan terbaik.
The post Melaka ada potensi besar anjur LIMA appeared first on Kosmo Digital.






