
MELAKA – Hubungan erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan pembangunan Melaka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain memastikan suara rakyat terus dibawa ke peringkat pembuat dasar.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penting bagi memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan, khususnya dalam aspek pembangunan, kebajikan dan penyelesaian masalah setempat.
Beliau yang juga calon PH di kerusi DUN Bukit Katil berkata, pengalaman PH mentadbir Melaka sebelum ini membolehkan pihaknya memahami potensi serta isu pembangunan yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan Melaka terus maju.
“Ketika mentadbir Melaka, kita mempunyai hampir 56 inisiatif kerajaan negeri. Begitu juga di peringkat Persekutuan menerusi Kerajaan Madani, kita sudah membuktikan perkara paling asas yang diberikan perhatian ialah kebajikan rakyat.
“Pengalaman itu perlu dimanfaatkan dengan menggabungkan kepakaran calon PH daripada pelbagai latar belakang, termasuk generasi muda, bekas penjawat awam dan mereka yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran Persekutuan,” katanya.
Adly berkata, kehadiran wakil PH dalam DUN Melaka mampu memperkukuh saluran komunikasi bagi memastikan isu serta keperluan rakyat dibawa ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, PH mempunyai ramai Ahli Parlimen di peringkat Persekutuan, sekali gus membuka ruang kepada ADUN untuk memanfaatkan hubungan berkenaan dalam menyampaikan suara rakyat Melaka kepada kementerian dan agensi berkaitan.
Menurutnya, hubungan antara wakil rakyat di peringkat negeri dengan Ahli Parlimen boleh menjadi saluran tambahan bagi memastikan isu setempat mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan, khususnya perkara yang memerlukan peruntukan serta tindakan kementerian.
“Apabila kita mempunyai ADUN di peringkat negeri dan ramai Ahli Parlimen di peringkat Persekutuan, hubungan ini boleh dimanfaatkan untuk memastikan suara rakyat sampai kepada pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan.
“ADUN bukan sekadar membawa isu dalam DUN tetapi juga menjadi penghubung untuk memastikan keperluan rakyat di kawasan masing-masing mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan memberi contoh pengalamannya di Bukit Katil apabila membawa masuk projek Jiwa Murni daripada Kementerian Pertahanan bagi membina tandas sekolah serta membangunkan gelanggang futsal di Taman Bukit Katil dan beberapa taman perumahan lain.
“Di DUN saya, walaupun saya ADUN biasa, saya membawa projek Jiwa Murni daripada Kementerian Pertahanan. Sekarang ini, kita sedang membangunkan gelanggang futsal di Taman Bukit Katil dan beberapa taman lain.
“Ini menunjukkan ADUN yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan boleh membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan masing-masing,” katanya.
Selain pembangunan kemudahan awam, beliau berkata, hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan turut penting bagi menyelesaikan isu banjir dan kesesakan lalu lintas yang memberi kesan kepada penduduk.
Katanya, ketika PH mentadbir Melaka, Empangan Sungai Jernih diluluskan bagi membantu menangani masalah banjir, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) membangunkan Pusat Kawalan Trafik untuk mempertingkat pengurusan lalu lintas.
“Sebahagian sistem lampu isyarat diuruskan JKR dan sebab itu penyelesaian isu kesesakan memerlukan kerjasama kerajaan negeri serta Persekutuan. Kita perlu melihat masalah rakyat secara menyeluruh, bukan berdasarkan bidang kuasa satu pihak sahaja,” katanya.
Adly berkata, manifesto PH ‘Melaka Rumah Kita’ turut memberi keutamaan kepada konsep Bandar Pintar atau Smart City yang bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan, sebaliknya mendekatkan urusan pentadbiran dengan rakyat.
“Rakyat boleh menyemak permohonan bantuan melalui sistem atau aplikasi, mengetahui status permohonan dan sebab sesuatu permohonan ditolak. Inilah bentuk pentadbiran yang lebih telus dan mudah diakses,” katanya.
The post Melaka Maju jika hubungan erat dengan Persekutuan appeared first on Kosmo Online.





