
PETALING JAYA – Pelakon baharu Evanatie Sannie mengesahkan dirinya wanita yang dikaitkan dengan aktor Idan Aedan susulan dakwaan mereka ‘check-in’ bersama di sebuah hotel yang tular baru-baru ini.
Bagaimanapun, Evanatie, 25, menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah yang sengaja direka bagi mencemarkan reputasinya.
“Ya, memang saya. Tetapi itu adalah fitnah semata-mata sebab begitulah apabila berada dalam industri ini.
“Saya faham macam-macam perkara akan kita lalui dalam industri ini. Jadi, bagi saya, perkara tersebut adalah satu ujian.
“Kami semua okey sahaja. Hubungan saya dengan semua pelakon filem Kacau masih seperti biasa dan berkawan. Cuma mungkin inilah ujian kami dalam industri seni,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada Malam Gala filem Galau di TGV KLCC, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Evanatie turut mengesahkan hubungan pertunangannya sudah lama berakhir sekali gus menjelaskan dirinya kini berstatus solo.
“Perkara itu sebenarnya sudah lama diselesaikan. Bagi saya, ada orang yang boleh menerima dan ada juga yang tidak. Apa-apa pun, saya hadapi sahaja.
“Hubungan pertunangan itu sebenarnya sudah lama berakhir. Dari pihak saya, semuanya sudah selesai sejak dahulu lagi. Sekarang saya sudah solo,” ujarnya.
Mengulas penerimaan terhadap kontroversi yang mengheret namanya, Evanatie mengakui memilih untuk kekal positif dan menjalani kehidupan seperti biasa meskipun kisah peribadinya menjadi perhatian umum.
“Saya okey sahaja sebab dalam industri memang begitu. Apa pun yang berlaku, saya terima dan jalani kehidupan seperti biasa.
“Paling penting ialah ketenangan diri sendiri dan sudah tentu saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” kata pelakon asal Sabah itu.
Tambah pelakon itu, dia turut menerima ugutan seperti yang dihadapi Idan susulan kontroversi berkenaan.
Justeru, Evanatie memaklumkan tindakan sewajarnya sudah diambil menerusi saluran undang-undang, namun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu bersifat peribadi.
“Sebenarnya, saya juga menerima ugutan yang sama. Namun, bagi saya, ini tetap satu ujian.
“Tindakan undang-undang? Sudah tentu ada tindakan diambil. Tetapi perkara ini bersifat privasi, jadi biarlah kami menguruskannya di belakang tabir mengikut saluran undang-undang yang betul,” tegasnya.
Terdahulu, Idan didakwa menjalin hubungan dengan seorang wanita yang dikatakan masih bergelar tunangan orang selepas tular rakaman kononnya mereka berdua berada di sebuah hotel.
Bagaimanapun, Idan menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa video berkenaan sudah disunting. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Memang saya, tapi itu fitnah’ – Evanatie Sannie jelaskan isu ‘check-in’ appeared first on Kosmo Online.




