
SARAPAN sajian tradisional, bukan sekadar mengalas perut sebelum memulakan hari, sebaliknya bagi para penggemar, ia menjadi ruang untuk menikmati hidangan yang mengembalikan nostalgia serta kenangan tentang masakan di kampung.
Setiap negeri mempunyai budaya sarapan dan menu istimewa mereka sendiri dan salah satu negeri yang mempunyai keunikan dalam bersarapan adalah di Johor.
Menyedari keistimewaan itu, Restoran Periuk Belanga tampil dengan konsep sarapan Johor yang mengetengahkan pelbagai juadah popular dari negeri Harimau Selatan itu.
Menurut pengusaha Periuk Belanga, Aliff Ahmed, 28, konsep sarapan di restorannya membawa identiti masakan Johor sebagai tarikan utama.
“Idea untuk memperkenalkan sarapan Johor tercetus daripada kebiasaan keluarga saya sendiri yang gemar mencari sajian sarapan pada awal pagi, khususnya juadah yang sinonim dengan negeri asal kami.
“Daripada sekadar mencari di luar, kami sekeluarga mengambil pendekatan membawa pengalaman sarapan tersebut ke restoran supaya lebih ramai pelanggan berpeluang mengenali dan menikmati hidangan tradisional Johor,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Restoran Periuk Belanga di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.
Aliff yang merupakan graduan dalam bidang pemasaran kini meneruskan perniagaan keluarga berkenaan, yang pada asalnya bermula di Danga Bay, Johor Bahru sebelum berkembang ke Setapak, Kuala Lumpur dan seterusnya Kelana Jaya.
Tambahnya, konsep sarapan yang diketengahkan bukan sekadar menyediakan makanan di atas meja, tetapi cuba membawa suasana warung kampung ke tengah bandar.
Konsep stall digunakan bagi membolehkan pelanggan memilih juadah yang tersedia, sekali gus memberikan pengalaman santai dan lebih dekat dengan suasana sarapan masyarakat kampung.
Antara sajian yang boleh dinikmati termasuk lontong, lontong darat, nasi ambeng, nasi lemak berlauk, lempeng, ubi rebus, lempeng, soto, pecal, sambal Jawa dan kuih-muih tradisional dan lain-lain.

Kata Aliff lagi, secara keseluruhan, terdapat sekitar 10 hingga 15 pilihan hidangan dengan lebih tujuh jenis lauk yang boleh dipadankan mengikut selera.
“Lontong misalnya menjadi antara pilihan yang cukup dekat dengan sarapan masyarakat Johor, manakala lontong darat pula menawarkan pengalaman berbeza dengan sajian yang lebih ringkas tetapi tetap sarat dengan rasa.
“Nasi ambeng pula membawa identiti hidangan masyarakat Jawa yang terkenal dengan gabungan nasi dan pelbagai lauk dalam satu sajian,” ujarnya.
Kongsinya lagi, sarapan ala kampung tidak lengkap tanpa kuih-muih tradisional dan hidangan ringkas seperti ubi rebus serta lempeng.
Menu-menu tersebut bukan sahaja mengingatkan kepada sarapan zaman dahulu, malah memperlihatkan bagaimana makanan tradisional masih mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat moden.
“Keistimewaan lain Periuk Belanga ialah penggunaan resipi keluarga yang diwarisi khususnya daripada ibu.
“Resipi tersebut digunakan dalam penyediaan lauk-pauk termasuk rendang, sambal nasi lemak dan sambal Jawa, menjadikan cita rasa hidangan lebih dekat dengan masakan rumah,” tambah Aliff.
Jelasnya lagi, konsep ‘home style’ turut menjadi sebahagian daripada pengalaman bersarapan di restoran berkenaan.
Pelanggan bukan sahaja datang untuk menikmati makanan, tetapi seolah-olah dibawa pulang ke suasana dapur dan warung kampung yang sederhana, mesra serta santai.
Periuk Belanga membuka operasi sarapan dari pukul 7 pagi hingga 11.30 pagi, Isnin hingga Selasa, memberi peluang kepada pelanggan menikmati hidangan tradisional pada waktu pagi.
Bagi mereka yang merindui rasa masakan Johor atau mahu mengenali lebih dekat kepelbagaian juadah sarapan negeri itu, sajian di Periuk Belanga boleh menjadi satu pengalaman kulinari yang menghidupkan kembali nostalgia kampung.
The post Membawa nostalgia kampung dengan sarapan Johor appeared first on Kosmo Digital.




