
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai masa untuk mengembalikan sokongan majoriti rakyat Malaysia kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, PH khususnya PKR bagaimanapun perlu membuat penilaian prestasi selepas menerima tiga kekalahan berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
“Sebagai pemimpin politik, kita tidak boleh lari daripada keputusan yang dibuat pengundi. Jadi kita perlu buat ‘post mortem’ apakah kelemahan yang perlu diperbaiki, apakah kita telah laksanakan apa yang dijanjikan.
“Saya tidak pasti bila PRU akan diadakan, adakah dalam tempoh enam bulan atau setahun lagi, tetapi bagi saya kita masih ada masa untuk perbaiki keadaan dan kembalikan sokongan kepada PH,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Medan Selera Taman Puteri Wangsa, di sini hari ini.
Wee Tse yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, kepimpinan PH perlu menggunakan tempoh masa berbaki dalam penggal pentadbiran kerajaan Persekutuan ini untuk memastikan segala dasar dan polisi dilaksana memberikan manfaat kepada rakyat.
“Bukan senang menguruskan kerajaan, tetapi kita masih ada ruang untuk memperbaiki keadaan khususnya melibatkan isu kos sara hidup. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan kehidupan rakyat pelbagai latar belakang.
“Namun begitu saya boleh berbangga kerana sehingga kini, PKR tidak bermain dengan politik identiti sebaliknya kekal dengan perkara-perkara asas seperti isu keadilan, pencegahan rasuah dan juga pembangunan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung lawatan kerja berkenaan, Wee Tse memberitahu, pihaknya telah menerima peruntukan berjumlah RM450,000 daripada Pejabat Perdana Menteri bagi pelaksanaan empat projek tempatan.
“RM100,000 bagi naik taraf Medan Selera Puteri Wangsa; RM100,000 naik taraf Surau Jumaat di Kampung Baru Sri Aman; RM200,000 naik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wangsa manakala RM50,000 naik taraf taman permainan pangsapuri Taman Dato’ Chellam,” katanya.-UTUSAN
The post Anwar ada masa kembalikan sokongan rakyat sebelum PRU 16 appeared first on Utusan Malaysia.





