
GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi melakar sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 yang akan berlangsung di Bandar Cassia, Batu Kawan, bermula 29 Ogos hingga 4 September ini.
Lebih membanggakan, penganjuran kali ini mengembalikan nostalgia apabila Pulau Pinang pernah menjadi negeri pertama menganjurkan jambori kebangsaan pada tahun 1966 di Teluk Bahang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jambori bertemakan ‘Menjejak Warisan, Membina Masa Depan’ dengan subtema ’60 Tahun Menyatukan Semangat Kepengakapan’ itu mencerminkan kesinambungan legasi kepengakapan dalam membentuk generasi muda yang berdaya tahan, berintegriti serta berjiwa sukarelawan.
Katanya, program berprestij itu dijangka menghimpunkan 5,005 peserta tempatan dan 468 peserta antarabangsa dari 11 negara, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan melebihi 5,400 orang.
“Pilihan Pergerakan Pengakap Malaysia ini bukan sahaja mengiktiraf keupayaan Pulau Pinang menganjurkan acara berskala besar, malah mencerminkan keyakinan terhadap komitmen negeri dalam memperkasa pembangunan belia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Datuk Zulkafli Kamaruddin dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Datuk Henry Heng Soo Peng.
Menurut Chow, penyertaan daripada 11 negara turut membuktikan pengiktirafan terhadap Pergerakan Pengakap Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi penganjuran program bertaraf kebangsaan dan global.
Sepanjang tujuh hari jambori berlangsung, peserta akan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk perkhemahan mega, International Cultural Night, Scout Skill Challenge, aktiviti ikhtiar hidup, pameran teknologi dan STEM.
Antara acara kemuncak adalah Merdeka Hike sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang dijangka diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai penganjuran Merdeka Hike secara berterusan selama 20 tahun. – KOSMO! ONLINE
The post P. Pinang kembali jadi tuan rumah Jambori Pengakap Malaysia appeared first on Kosmo Digital.






