
MAKANAN Pantai Timur bukan sekadar mempunyai rasa yang kaya dan rempah yang berani tetapi juga kenangan yang hadir bersama setiap suapan.
Keistimewaan itu merupakan antara sebab sajian Pantai Timur menjadi antara menu pilihan rakyat Malaysia tidak kira dari mana-mana negeri.
Itulah pengalaman yang cuba dihidupkan di Rumoh Mekda di Bangsar Village 1, Kuala Lumpur yang membawa semangat masakan Kelantan, Terengganu dan Pahang ke tengah kota.
Menurut pengasasnya yang dikenali sebagai Mekda, apa yang lebih menarik, perjalanan Rumoh Mekda sebenarnya bermula jauh sebelum pintunya dibuka kepada pelanggan iaitu menerusi perniagaan katering yang telah menghidangkan sajian Pantai Timur untuk pelbagai majlis dan keraian.
“Ketika ini, pengalaman menikmati juadah tersebut tidak lagi terhad kepada acara tertentu. Hadir ke Rumoh Mekda seolah-olah melangkah masuk ke sebuah ruang makan yang mahu menjadikan makanan sebagai penghubung antara manusia.
“Konsep ‘rumoh’ sendiri cukup dekat dengan jiwa masyarakat Melayu, membawa bayangan tentang sebuah tempat yang hangat, terbuka dan sentiasa mempunyai ruang untuk tetamu di meja makan,” katanya ketika ditemui CitaRasa pada perasmian Rumoh Mekda di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, bagi mereka yang pertama kali berkunjung, antara hidangan yang wajar diberi perhatian ialah nasi kerabu ayam percik.
Sajian ini mengetengahkan identiti nasi kerabu yang sinonim dengan Kelantan, lengkap dengan warna, aroma dan rasa yang tersendiri, dipadankan pula dengan ayam percik yang menjadi antara lauk kegemaran ramai.
Gabungan nasi berperisa herba bersama ayam yang kaya dengan rasa memberikan pengalaman makan yang cukup memuaskan terutama buat pencinta sajian Pantai Timur.
Tidak kurang menarik ialah ikan patin goreng sambal tempoyak, sebuah hidangan yang cukup sinonim dengan selera Pahang.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ke Rumoh Mekda
turut menjadi satu detik penting bagi restoran yang terletak
di Bangsar, Kuala Lumpur itu.
Ikan patin yang digoreng menjadi sajian utama sebelum dinikmati bersama sambal tempoyak yang mempunyai karakter rasa tersendiri.
Tempoyak dengan rasa masam dan aroma uniknya memberikan dimensi berbeza kepada hidangan dan menjadikannya pilihan menarik buat pengunjung yang mahu meneroka rasa tradisional.
Bagi penggemar hidangan daging pula, daging tumbok menawarkan cita rasa yang lebih berempah dan berkarakter.
Sajian ini menyerlahkan pendekatan Rumoh Mekda dalam mengetengahkan masakan tradisional yang bukan sahaja mengenyangkan tetapi turut membawa cerita dan identiti budaya di sebaliknya.
Kongsi Mekda lagi, satu lagi hidangan yang mencuri perhatian ialah singgang oxtail yang memberikan sentuhan lebih moden terhadap tradisi masakan Pantai Timur.
“Kuah singgang yang mempunyai rasa tersendiri digandingkan dengan oxtail, menghasilkan sajian yang sesuai untuk dinikmati secara santai bersama keluarga atau rakan-rakan.
“Selepas menikmati hidangan utama, pengalaman makan boleh ditutup dengan puding diraja, pencuci mulut yang membawa elemen nostalgia dan warisan,” ujarnya.
Katanya lagi, sajian ini melengkapkan perjalanan rasa di Rumoh Mekda dengan sentuhan manis yang mengingatkan kepada juadah tradisional dan pengalaman menikmati hidangan istimewa dalam suasana kekeluargaan.
Menariknya, Rumoh Mekda tidak sekadar mahu menghidangkan semula makanan tradisional. Lebih daripada itu, ia cuba mengekalkan emosi yang datang bersamanya iaitu rasa seperti pulang ke kampung, menikmati masakan ibu atau nenek serta berkongsi hidangan di meja bersama orang tersayang.
Selepas sekian lama membawa makanan ke rumah pelanggan menerusi katering, kini Rumoh Mekda membuka pintunya sendiri di Bangsar.
Pelancaran rasminya baru-baru ini bahkan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan jenama tersebut.
The post Menghimpun rasa tiga negeri Pantai Timur di ibu kota appeared first on Kosmo Online.




