
Rasa sepi seringkali melanda individu, tetapi jika dirangkumkan rakyat negara mana yang paling banyak berasa sunyi atau keseorangan, pasti ia satu hal yang jarang diketengahkan.
Satu kajian terbaharu oleh platform hiburan digital, JB.com telah menilai kesejahteraan emosi dan isolasi sosial melibatkan puluhan negara.
Kajian tersebut mencipta skor kesunyian menggunakan beberapa faktor termasuk berapa kerap seseorang merasa dirinya kesunyian, tahap kesedihan dan kegembiraan, kadar depresi dan corak isi rumah seperti bilangan orang yang tinggal bersendirian dan saiz purata isi rumah.
Negara yang mendapat skor keseluruhan tertinggi dianggap sebagai yang paling sunyi.
Minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara yang rakyatnya paling berasa kesunyian (loneliness), sepi atau terasing seperti yang dilaporkan kajian tersebut yang dikeluarkan pada Jun 2026 yang turut dikongsi Seasia.stats dan The Indian Express..
1) Turkiye (skor 100)
Markah maksimum diperoleh Turkiye sekali gus menjadikannya negara di tangga pertama carta. Kajian ini membuktikan bahawa kesepian tiada kaitan pun sama ada anda tinggal berseorangan atau keluarga besar. Di Turkiye misalnya, ia dikenali dengan tradisi hubungan keluarga yang kuat. Bagaimanapun, kajian dapati 61 peratus responden berasa sepi secara umum, bahkan 45 peratus berasa terasing daripada masyarakat. Ia satu yang agak mengejutkan kerana hanya 20 peratus rakyat Turkiye tinggal seorang diri. Masalah ekonomi seperti kos hidup tinggi dan pendapatan rendah menjadikan mereka tertekan. Ramai anak muda dikatakan mahu meninggalkan negara. Seorang anak muda berkongsi di Reddit: “Saya rasa menjadi rakyat Turkiye itu sangat sepi dan terasing. Anda bukan Barat dan anda juga bukan Timur Tengah (Asia Barat). Anda terlalu oriental untuk menjadi bangsa Eropah, dan anda terlalu sekular untuk menjadi negara Timur Tengah.”
2. India (skor 89)
Seperti Turkiye, India juga menunjukkan pola yang sama. Biarpun tinggal dalam keluarga besar 58 peratus responden mengaku berasa sunyi, 34 peratus berasa terasing dan 37 peratus sering berasa sedih. Kajian ini hangat dibincangkan di India, negara berpopulasi terbesar dunia itu.

3. Brazil (skor 86)
Kedudukan Brazil di tangga ketiga suatu yang di luar dugaan. Dikenali sebagai sebuah negara yang sinonim riang dan suka berpesta, lebih separuh daripada responden dalam kajian mengaku berasa sepi. Bahkan 35.2 peratus berasa mereka selalu sepi. Kajian ini menunjukkan, rasa seronok dan rasa terasing boleh berlaku serentak.
4. Arab Saudi (skor 85)
Direkodkan antara yang paling berasa sepi dengan 43 peratus responden berasa kesepian atau terasing sekurang-kurangnya kadang-kadang. Tidak dapat dipastikan apa faktornya yang mendorong kedudukan tinggi, namun sebuah artikel membincangkan kesunyian kini dianggap telah menjadi epidemik dalam kalangan kaum lelaki di Asia Barat dan Utara Afrika, The Loneliness Epidemic Among Men in The Middle East.
5. Afrika Selatan (skor 83)
Urbanisasi, penggunaan peranti digital masa kini dan perubahan ekonomi dikatakan telah mengubah masyarakat tradisional sehingga ramai yang berasa sepi dan sunyi di negara berpopulasi 60 juta orang ini. Faktor seperti kadar pengangguran yang tinggi dan perubahan dinamika keluarga juga menyumbang masalah ini.
Untuk makluman, lain-lain negara dalam senarai top 10 ialah Emiriyah Arab Bersatu (keenam), UK (7), Australia (9) dan Indonesia (10). Berbanding negara-negara yang lazim dikaitkan dengan suka bersendirian seperti Jepun dan Rusia yang mewakili jumlah responden lebih besar rata-rata tidak berasa diri sunyi.
The post Rakyat 5 negara paling rasa sunyi, No.1 skor 100 appeared first on Kosmo Online.





