
KOTA TINGGI – Keindahan pantai di Mersing dan Kota Tinggi yang menjadi tumpuan pengunjung untuk beriadah boleh bertukar menjadi ‘lubuk maut’ hingga mengakibatkan tragedi lemas disebabkan bahaya yang sentiasa menunggu mangsa di dasarnya.
Antara ancaman terbesar pantai di dua daerah itu termasuk arus deras, ombak besar, perubahan air pasang surut, perubahan kedalaman secara mendadak serta keadaan dasar dan geologi pantai.
Daerah ini merupakan kawasan yang merekodkan kejadian lemas di pantai paling tinggi di Johor, diikuti Mersing, Johor Bahru dan Pontian.
Antara kawasan yang dikenali sebagai ‘pantai makan orang’ di kedua-dua daerah itu ialah Tanjung Lompat, Mutiara Bay, Batu Layar, Tanjung Buloh, Tanjung Leman dan Pulau Mentigi.Pengarah Jabatan Bomba dan
Penyelamat Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir berkata, ancaman berlaku sekelip mata sekiranya pengunjung leka dan memandang ringan ancaman arus serta
ombak.
Katanya, sepanjang 2025 sebanyak 20 individu ditemukan lemas daripada 28 kes yang dilaporkan berbanding 12 maut daripada 19 kes setakat ini pada 2026.
“Walaupun jumlah kes pada 2026 setakat ini masih lebih rendah berbanding keseluruhan tahun lalu, aspek keselamatan perlu terus diberi perhatian khususnya ketika musim cuti dan hujung minggu apabila jumlah pengunjung ke kawasan rekreasi air meningkat.
“Orang ramai tidak seharusnya menganggap kawasan pantai selamat hanya kerana permukaan air kelihatan tenang,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Siti Rohani, faktor yang menjadi ancaman boleh berubah dalam tempoh singkat dan menyebabkan pengunjung yang tidak biasa dengan keadaan setempat berdepan risiko dihanyutkan arus.
Tambahnya, pengunjung perlu memahami bahawa keadaan pantai boleh berubah dan apa yang kelihatan selamat dari daratan tidak semestinya selamat apabila berada di dalam air.

“Lebih membimbangkan apabila ada yang mengabaikan papan tanda amaran atau memasuki kawasan yang ditandakan berbahaya,” katanya.
Ujar Siti Rohani, kecuaian dan kegagalan mematuhi arahan keselamatan turut meningkatkan risiko kejadian lemas, termasuk memasuki air ketika ombak atau arus tidak selamat serta membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.
“Kanak-kanak perlu sentiasa berada dalam jarak yang mudah dipantau dan tidak boleh dibiarkan bermain air tanpa pengawasan.
“Golongan muda juga perlu mengelakkan sebarang tindakan berisiko, terutama ketika keadaan laut tidak mengizinkan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang melihat seseorang dihanyutkan arus dinasihatkan tidak terus terjun ke dalam air untuk menyelamatkan mangsa kerana tindakan itu boleh menyebabkan mereka turut menjadi
mangsa.
Sebaliknya, mereka perlu segera menghubungi talian kecemasan 999, memberikan lokasi tepat kejadian dan sekiranya selamat, membantu mangsa dari daratan menggunakan peralatan bantuan yang sesuai.
“Jangan korbankan nyawa sendiri ketika cuba menyelamatkan orang lain. Utamakan keselamatan diri dan serahkan tindakan menyelamat kepada pasukan terlatih,”
katanya.
Siti Rohani berkata, pengunjung juga disarankan menyemak keadaan cuaca dan laut sebelum berkunjung, memilih kawasan yang mempunyai kemudahan keselamatan serta mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan.
“Percutian sepatutnya membawa kenangan manis, bukan tragedi. Jadikan keselamatan sebagai keutamaan setiap kali beriadah di pantai dan kawasan perairan,” katanya.
The post Nampak macam ‘syurga’, rupanya lubuk maut appeared first on Kosmo Online.





