Menimba pengalaman di bumi asing

22 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Menimba pengalaman di bumi asing

JAUH perjalanan, luas pengalaman. Sejak dijemput untuk mengambil bahagian dalam sebuah persidangan di Sweden pada 2023, Alhamdulillah saya diberi rezeki dan peluang untuk menghadiri banyak persidangan lain di pelbagai negara lagi.

Apabila berada luar negara, secara tidak langsung kita akan membawa nama negara. Oleh itu, amat penting untuk sentiasa belajar membawa diri dengan baik, apatah lagi jika kita satu-satunya wakil Malaysia yang dijemput hadir.

Kesempatan menerokai dunia yang luas bukan sekadar membuka kesempatan untuk menikmati suasana dan pemandangan berbeza tetapi lebih penting lagi, kita berpeluang belajar banyak perkara baharu. Meskipun begitu, bukan semua yang baharu itu baik untuk kita.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kita harus belajar menyesuaikan diri dan menghormati budaya tempatan di mana sahaja berada. Namun, ini bukanlah bermakna harus melupakan batas diri sehingga merasa bebas untuk lakukan apa-apa sahaja yang dimahukan.

Kita harus mengambil kesempatan untuk bergaul dalam mengembang rangkaian yang ada dan bukannya menjadi kera sumbang atau hanya berkumpul sesama kita sahaja. Bagi saya dan rakan-rakan, inilah prinsip yang cuba kami terapkan apabila mengambil bahagian dalam persidangan di luar negara.

Bagi kami dari Malaysia, seboleh mungkin cuba mengadakan lawatan ke kedutaan Malaysia di negara yang kami lawati, seperti yang dilakukan di Stockholm, Sweden dahulu dan baru-baru ini di Paris, Perancis ketika berada di kota raya tersohor itu bagi menghadiri Persidangan Wikimania 2026 bulan lalu.

Oleh kerana kami diberi dua hari lapang sebelum persidangan bermula, saya bersama-sama perwakilan Malaysia mengambil kesempatan itu untuk membuat kunjungan ke Kedutaan Besar Malaysia di Paris pada hari kedua.
Peluang berjumpa Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim amat besar maknanya bagi kami. Di sebalik kesibukan, beliau menyambut kami dengan mesra. Dalam pertemuan itu, beliau turut memberi beberapa nasihat.

Beliau mengingatkan selaku perwakilan negara di sesebuah acara antarabangsa, tanggungjawab kita adalah untuk sentiasa membawa maruah bangsa dan negara dengan baik.
Seterusnya beliau menasihati kami agar jangan sekali-kali merendah-rendahkan taraf negara kita hanya kerana kecil pada peta. Ini kerana di peringkat antarabangsa mana-mana perwakilan sama sahaja tarafnya dengan perwakilan negara lain, meskipun negara yang lebih maju.

JANGAN RENDAHKAN MALAYSIA

Perkara ini tidak hanya terpakai bagi perwakilan di persidangan tetapi juga harus diambil perhatian secara amnya. Masalahnya, kita sudah terbiasa melihat negara-negara dalam konteks dunia pertama, kedua, ketiga dan sebagainya sehinggakan kita terlupa bahawa pengelasan itu tidak menggambarkan keseluruhan sesebuah negara secara sebenarnya.

Bahkan keadaan negara maju juga masih jauh daripada sempurna. Malah, antara perkara yang saya sedari apabila tiba di Paris ialah tahap kebersihan udara dan persekitaran yang kurang, termasuk di kemudahan awam sekitar kawasan bandar.

Walaupun negara-negara di Eropah secara amnya dilihat lebih maju dan terkedepan tetapi pada masa sama kita tidak dapat menafikan dalam sesetengah perkara, keadaan di Malaysia jauh lebih baik, termasuk dalam prasarana dan kemajuan sosial.

Meskipun prasarana pengangkutan awam di Paris jauh lebih lengkap berbanding kita, namun mutu kemudahan kereta api ringan di Malaysia lebih baik meskipun Malaysia merupakan negara yang lebih mengutamakan penggunaan kereta. Ini termasuklah kemudahan yang disediakan untuk orang kurang upaya (OKU).

Eldeen Husaini juga mengingatkan kami untuk sentiasa peka dan sesuaikan diri mengikut suasana dan konteks tempatan apabila berada di tempat awam, terutamanya dalam keadaan yang boleh melibatkan keselamatan diri serta ketenteraman awam.

Pesan beliau lagi, walaupun merasa teruja menerokai negara yang ingin kita lawati, elakkan terlalu berkelakuan seperti pelancong tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Hal sebegini boleh mengganggu orang awam dan menimbul perhatian tanpa sebab yang akhirnya boleh mengundang keadaan yang tidak diingini.

Menceritakan tentang corak jenayah yang berbeza dari setempat ke setempat, Eldeen Husaini menasihati kami agar berhati-hati tentang modus operandi jenayah di sana. Malang sekali, ramai pelancong dari Malaysia hanya meminta nasihat daripada kedutaan selepas ia berlaku.

Dalam perjalanan ke Kedutaan Malaysia, saya hampir menjadi mangsa penyeluk saku apabila seorang lelaki cuba menyeluk poket seluar saya dengan bantuan rakannya sebaik trem yang kami naiki menghampiri sebuah stesen.

Alhamdulillah, pencuri tersebut tidak dapat mengambil apa-apa kerana saya sengaja mengosongkan poket sebelum itu. Mereka terkejut apabila saya berpaling, lantas bergegas keluar sebaik sahaja trem berhenti.

Pada malam sebelum persidangan berakhir, kami mendapat kejutan apabila kami dijemput Eldeen Husaini untuk makan malam di kediaman beliau. Sebaik selesai urusan persidangan pada hari itu, kami terus bergegas ke rumahnya bersama seorang rakan dari Indonesia.

Akhirnya, setelah lima hari berada di Paris, dapat juga kami menjamah makanan Malaysia. Kami disambut dengan hidangan nasi berlauk gulai lengkap bersama ayam goreng, sambal dan ulam air tangan Datin Masdiana.

Makan malam tersebut turut dilengkapkan dengan sajian kuih lopes, teh tarik dan sirap yang mengubati kerinduan kampung halaman. Layanan dan kemesraan Eldeen Husaini bersama isteri ketika meraikan kami menjadi antara kenangan paling manis buat ketika berada lebih seminggu di Paris.

Pengalaman luas beliau selaku diplomat yang bertugas di beberapa negara juga disampaikan kepada kami melalui nasihat-nasihat yang telah dititipkan sepanjang kami meluangkan masa di sana.

Walaupun kami tetap teruja dengan bandar Paris yang serba indah itu, namun tetap tidak menjadi halangan untuk kekal terpasak pada bumi. Masih banyak yang dapat kita pelajari daripada kelebihan di sana, namun sebarang kekurangan perlulah juga diambil sebagai peringatan buat diri sendiri. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

The post Menimba pengalaman di bumi asing appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved