Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hanya berbaki satu hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat (9 Oktober) ini.
Pasti ramai yang tidak sabar menunggu malah mengharapkan ‘buah tangan’ serta sesuatu yang istimewa dari kerajaan.
Apatah lagi, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pembentangan bajet pada tahun ini masih mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Dalam banyak-banyak perkara, jom kami kongsikan antara perkara menarik yang bakal menjadi fokus dalam pembentangan belanjawan kali ini.
#1 Kenaikan Gaji Minimum RM2,000
Umum mengetahui gaji minimum pada ketika ini telah ditetapkan pada paras RM1,700.
Seiring dengan kenaikan kos sara hidup, ramai yang mahu paras gaji minimum ini turut ditingkatkan.
Baru-baru ini, Anwar memberi bayangan kadar itu akan dinaikkan dan perinciannya akan dibentangkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat (9 Oktober) ini.
Perkara ini sudah semestinya menjadi satu khabar baik buat golongan pekerja apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Malah, menurut Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi, langkah menaikkan paras gaji minimum adalah satu tindakan realistik dan wajar dilaksanakan bagi memastikan peningkatan pendapatan pekerja seiring dengan keadaan ekonomi semasa.
Namun, ada pihak yang menggesa agar gaji minimum ditetapkan pada kadar RM3,100 antaranya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Ini kerana mereka berpendapat gaji semasa pada ketika ini belum seiring dengan peningkatan produktiviti serta keuntungan yang diperolehi syarikat.

Malah, jumlah gaji RM3,100 juga adalah gaji wajar bagi individu bujang tinggal di Kuala Lumpur seperti yang dianggarkan oleh inisiatif Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).
Pun begitu, tidak kiralah berapa pun jumlahnya nanti, peningkatan paras gaji minimum ini sudah pastinya menjadi berita baik khususnya buat pekerja.
Baca Artikel Berkaitan: Anggaran Gaji Wajar Untuk Individu Bujang Di KL Jalani Hidup Di Tahap Munasabah RM3,100
#2 Kebajikan Mahasiswa
Bukan hanya mereka yang bekerja sahaja, pelajar khususnya mahasiswa termasuk pelajar tingkatan enam juga dijangka bakal menerima manfaat dalam Belanjawan 2027 kali ini.
Manakan tidak, Anwar sebelum ini turut memberi bayangan bahawa pembentangan bajet kali ini akan merangkumi langkah-langkah menangani isu kewangan dalam kalangan mahasiswa.
Ia termasuklah mereka yang berhadapan dengan isu kekurangan wang untuk makan serta beban hutang.
Jelas Anwar, dia sentiasa mendengar keluhan pelajar serta pemintaan belia terutamanya mengenai kos pendidikan serta keperluan khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Ada mahasiswa yang berkata, ‘Kami mahu belajar, tetapi kami lapar.’ Kami memberi tumpuan kepada perkara itu. Saya akan mengumumkannya semasa pembentangan Belanjawan nanti.
“Terdapat mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak mampu menanggung kos pengajian dan terpaksa berhutang.
“Ini semua perkara yang perlu kita dengar dan tangani,” jelasnya.
Memetik Berita Harian, kerajaan juga bakal meluluskan peruntukan elaun pelajar Tingkatan Enam selepas perkara itu dibangkitkan dalam satu dialog bersama pelajar pra universiti di Bukit Mertajam pada 28 Ogos lalu.
#3 Kebajikan Petugas Kesihatan
Penambahbaikan sektor kesihatan juga menjadi antara perkara yang diberi tumpuan dalam pembentangan belanjawan pada kali ini.
Antara perkara yang diharapkan adalah mengenai kebajikan petugas kesihatan di Malaysia.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Dr RA Lingeshwaran, kerajaan perlu memastikan kebajikan petugas dalam sektor ini diberi perhatian yang sewajarnya.
Ini bagi mengelakkan daripada kumpulan itu terus berdepan dengan tekanan sehingga menyebabkan mereka memilih untuk meninggalkan perkhidmatan awam.
“Tanpa peruntukan sewajarnya dalam Belanjawan 2027 untuk kebajikan kakitangan KKM, ramai mungkin hilang semangat, kecewa dengan sistem dan akhirnya memilih untuk meletakkan jawatan,” katanya yang dipetik dari Malaysia Gazette.
Bukan itu sahaja, aspek lain antaranya seperti peningkatan akses dan mutu perkhidmatan fasiliti dan penyampaian kesihatan turut menjadi antara keutamaan dalam pembentangan kali ini.
#4 Perlindungan Sosial Khususnya Kepada Pekerja Gig
Selain itu, golongan pekerja Gig dijangka mendapat perhatian dalam pembentangan bajet pada kali ini.
Apatah lagi sebelum ini Kementerian Kewangan pada 29 September lalu telah mengadakan pertemuan bersama pengendali platform e-hailing dan p-haliling.
Ia bagi membincangkan langkah strategik untuk memelihara dan meningkatkan pendapatan bersih golongan ini.
Malah, Bank Dunia turut berpendapat Malaysia perlu menjadikan sistem perlindungan sosial khususnya kepada pekerja gig sebagai keutamaan dalam belanjawan kali ini.
Ia termasuklah meningkatkan kecukupan manfaat, meluaskan liputan kepada pekerja ekonomi gig.
Jelas Ketua Ekonomi untuk Malaysia, Apurva Sanghi, kerajaan telahpun melaksanakan tugas dengan baik bagi memperluas serta meningkatkan jurang sosial namun jurang khususnya dari segi kecukupan manfaat masih ada.
“Syabas kepada kerajaan kerana memperluas dan meningkatkan skala program bantuan sosial sehingga berjaya dengan cemerlang. Tetapi terdapat isu dari segi kecukupan, iaitu terhadap manfaat sedia ada.
“Saya fikir pekerja ekonomi gig masih tidak dilindungi di bawah perlindungan pengangguran dan sistem insurans pekerjaan,” katanya.
#5 Pembangunan Ekonomi Kreatif
Ekonomi kreatif atau juga dikenali sebagai ekonomi jingga turut menjadi antara fokus atau perkara yang diharapkan dalam belanjawan pada kali ini.
Apatah lagi menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, kementeriannya telahpun mengemukakan beberapa cadangan bagi pertimbangan kerajaan termasuk mengenai Pembangunan ekonomi kreatif.
“Memandangkan kita telah bentuk satu Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif yang menyentuh filem, animasi, muzik dan juga seni dan budaya.
“Jadi memang bagi pihak Kementerian Komunikasi, ada beberapa perkara yang kita ketengahkan dan kita harap dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Malah, Anwar sebelum ini pernah memberi bayangan bahawa kerajaan akan meningkatkan peruntukan khususnya bagi sektor filem, teater, sastera dan seni sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi industri kreatif negara.

Ini hanya beberapa perkara yang diharapkan dapat kami kongsi dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada kali ini.
Apa yang pasti, setiap inisiatif yang bakal diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini pastinya memberi manfaat kepada penerima.
Baca Artikel Berkaitan: Menjelang Belanjawan 2027: Ramai Graduan Berdepan Masalah Gaji Yang Tak Sepadan Dengan Tahap Kualiti Kerja – Pakar
Baca Artikel Berkaitan: Gaji Minimum: Tak Adil Jika Pekerja Bawahan Sahaja Naik Gaji Tetapi Staf Lama Tercicir – Tengku Zafrul [Video]






