Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kebiasaannya antara cabaran yang selalu kita dengar dilalui oleh golongan graduan baharu adalah kekurangan peluang pekerjaan sekaligus menyebabkan mereka terpaksa bersaing dalam pasaran pekerjaan yang sengit dan terhad.
Namun begitu, terdapat juga beberapa cabaran lain yang ditempuhi golongan graduan baharu yang sudah berjaya mendapatkan pekerjaan iaitu struktur pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan serta pertumbuhan gaji sebenar yang tidak mengikuti peningkatan produktiviti.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, isu pengangguran graduan perlu dilihat dari skop serta konteks yang lebih besar dan bukannya hanya menitikberatkan sama ada universiti menghasilkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran atau pun tidak.

Persoalnya, adakah keadaan ekonomi negara ketika ini mampu menyediakan pekerjaan berkualiti kepada graduan, setimpal dengan gaji yang ditawarkan?
“Adakah ekonomi hari ini cukup untuk menawarkan satu komposisi pekerjaan yang berkualiti tinggi dan mampu untuk menyerap bakat yang berjaya dihasilkan?
“Saya rasa ada pekerjaan, tapi mungkin kualiti pekerjaan itu tidak berbaloi sebenarnya dengan kelayakan. Adakah gaji itu mampu untuk mengimbangi kos sara hidup sedia ada?” soalnya.
Produktiviti Pekerja Dari 2019-2025 Meningkat, Tetapi Gaji Pekerja Swasta Menurun
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini turut melaporkan terdapat jurang antara peningkatan produktiviti dan pendapatan ditawarkan kepada pekerja.
Secara kumulatif sejak 2019 hingga 2025, produktiviti buruh meningkat 9%, namun gaji sebenar bagi setiap pekerja sektor swasta menurun 1.7% dalam tempoh tersebut.
Produktiviti buruh berdasarkan nilai ditambah bagi setiap pekerja meningkat kepada 3.4% pada 2025 berbanding 2.4% pada tahun sebelumnya (2024).
Pada masa sama, gaji nominal sektor swasta mencatat kenaikan 3.6%, sekaligus menunjukkan pentingnya membezakan pertumbuhan gaji nominal dan gaji sebenar yang diselaraskan mengikut perubahan harga.
Peratusan Pekerja Berkemahiran Tinggi Di Malaysia Lebih Rendah Berbanding Pekerjaan Separa Mahir
Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 9.25 juta pekerjaan dalam ekonomi pada suku kedua 2026. Namun dalam jumlah terbabit hanya 25.2% terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi.
Sebanyak 66.1% adalah pekerjaan separa mahir manakala 8.7% lagi pekerjaan berkemahiran rendah.
Jelas Umi Hamidaton, isu tenaga kerja perlu diteliti dalam konteks yang lebih luas, terutamanya berkaitan kebergantungan industri negara terhadap pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana meskipun tahap pendidikan serta kemahiran pekerja semakin meningkat.
Harap Penciptaan Pekerjaan Berkemahiran Tinggi Diberi Peruntukan Dalam Belanjawan 2027
Menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini (9 Oktober), Umi Hamidaton berharap agar kerajaan memberi peruntukan kepada penciptaan pekerjaan yang berkemahiran tinggi.
“Dalam Belanjawan 2027, saya juga berharap agar bukan hanya menambah peruntukan untuk latihan semata-mata tetapi perlulah disertai dengan penciptaan pekerjaan yang berkemahiran tinggi,” ujarnya.
Beliau berpandangan penekanan perlu diberikan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, produktif dan bergaji wajar, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti:
- Teknologi digital
- Kecerdasan buatan (AI)
- Semikonduktor
- Ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui
Kos Sara Hidup & Penyediaan Pekerjaan Berkualiti Fokus Utama Belanjawan 2027 – Menteri Kewangan II
Untuk info, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dijadual bermula pada jam 3.30 petang.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, antara fokus utama yang diberi perhatian bagi pembentangan bajet kali ini adalah kos sara hidup, penyediaan pekerjaan berkualiti serta peningkatan taraf ekonomi rakyat.






