Menteri Kecam Jenaka Menghina, ‘Tokoh Agama Tak Wajar Dijadikan Bahan Gurauan’ 

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 9:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Menteri Kecam Jenaka Menghina, ‘Tokoh Agama Tak Wajar Dijadikan Bahan Gurauan’ 

KUALA LUMPUR -,Jenaka yang memperlekeh, menghina, mengejek atau merendahkan orang lain adalah dilarang sama sekali dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu jelas dinyatakan dalam ayat 11 Surah Al-Hujurat yang melarang umat Islam mencela, memperolok-olokkan orang lain, memanggil dengan gelaran yang buruk serta merendahkan sesama manusia.

Jelas beliau, setiap pemimpin seharusnya mengangkat wacana yang matang, berteraskan pembangunan negara dan pengukuhan perpaduan dalam setiap ucapan atau perhimpunan,  bukan membiarkan ucapan dicemari jenaka berunsur seksual, khususnya yang menyentuh sensitiviti institusi agama lain.

“Menjadikan simbol atau tokoh mana-mana agama sebagai bahan jenaka bukan sahaja merendahkan martabat kepimpinan, malah boleh menjejaskan keharmonian antara agama yang selama ini dipelihara di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kenyataan kontroversi Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, pada PAU 2026 yang mengandungi jenaka berkaitan seorang paderi dan rahib.

Beliau berkata pemimpin sebagai contoh kepada masyarakat, khususnya umat Islam, perlu menyedari serta menangani perkara sedemikian dengan sewajarnya.

“Saya menyeru semua pihak supaya kembali memberikan tumpuan kepada isu yang benar-benar penting kepada rakyat serta membina wacana awam berteraskan kebijaksanaan, kesantunan dan ketinggian nilai moral," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 di Kuala Lumpur International Trade and Exhibition Centre (KLITE) di sini hari ini, Zulkifli sekali lagi menegaskan bahawa masyarakat perlu menolak sebarang tindakan yang bercanggah dengan nilai agama.

“Kita sudah memberikan pandangan mengenai isu ini, khususnya berhubung jenaka yang menyentuh sensitiviti agama, dan pandangan itu juga selari dengan pendirian para ilmuwan agama.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah memberikan tumpuan kepada usaha membina wacana yang membentuk sahsiah, memperkukuh perpaduan dan menyatukan rakyat Malaysia.

“Kita meminta agar perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai ini tidak dilakukan oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya. - Getaran, 17 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved