Menteri Pertanian Jepun letak jawatan selepas kenyataan terima beras percuma

WorldPolitics
21 May 2025 • 5:41 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Pertanian Jepun, Taku Eto, telah meletakkan jawatan berikutan kenyataan kontroversi yang dibuatnya mengenai beras. Beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Ishiba Shigeru pada pagi Rabu.

Pada Ahad lalu, Eto berkata bahawa beliau tidak pernah membeli beras kerana menerimanya secara percuma daripada penyokong-penyokongnya, dan beliau mempunyai bekalan yang mencukupi sehingga boleh menjualnya.

Beliau kemudiannya menarik balik kenyataan tersebut, yang dibuat ketika harga makanan ruji itu sedang melonjak naik di Jepun.

Memetik laporan NHK World Japan, Eto menyatakan bahawa kenyataannya telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menurunkan harga dan membina semula kepercayaan rakyat Jepun.

“Ketika ini, rakyat sedang berdepan kesukaran dengan kenaikan harga beras. Dalam keadaan ini, saya telah membuat kenyataan yang amat tidak wajar sebagai menteri yang bertanggungjawab. Saya ingin memohon maaf secara ikhlas kepada semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berkata Eto meletakkan jawatan kerana bimbang akan menjejaskan pelaksanaan dasar pertanian.

“Eto memutuskan untuk meletak jawatan kerana jika kekeliruan mengenai kenyataannya berterusan, ia akan menjejaskan pelaksanaan dasar pertanian. Saya telah meluluskan permintaannya,” ujarnya.

Ishiba juga memaklumkan kepada Parlimen bahawa kenyataan Eto adalah tidak wajar, dan beliau memohon maaf kepada rakyat sebagai individu yang telah melantik Eto ke jawatan tersebut.

Perdana Menteri pada awalnya berhasrat untuk mengekalkan Eto dalam jawatannya bagi mengetuai usaha menstabilkan harga beras. Namun begitu, ahli parlimen pembangkang mengecam kenyataan Eto dan mendesak agar beliau segera disingkirkan daripada jawatan tersebut.