“Saya Akan Hapuskan Larangan 3R, Jika Saya Jadi PM Lagi” – Tun M

LocalPolitics
20 May 2025 • 10:24 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau lebih mesra disapa Tun M ingin memansuhkan hukuman berkaitan isu 3R (agama, kaum, raja) sekiranya beliau kembali memegang jawatan tersebut.

Beliau yang pernah memegang jawatan perdana menteri sebanyak dua kali berkata, langkah itu adalah ‘perkara pertama’ yang akan dilakukannya jika dia diberi peluang memimpin negara sekali lagi.

“Saya mesti tahu apa yang rakyat fikirkan. Kalau mulut mereka ditutup, mereka mungkin berfikiran buruk terhadap kamu, tetapi kamu pula rasa semuanya baik-baik sahaja.

“Apabila kamu tidak memberi respon terhadap masalah dan perasaan (rakyat), maka negara tidak akan maju (kerana) kita perlukan kebebasan bersuara,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Tun M sedia kongsi pandangan dengan kerajaan demi kebaikan negara

Menurutnya, beliau sedia berkongsi pandangan dengan kerajaan demi kebaikan negara walaupun beliau bukan lagi perdana menteri dan tidak berminat lagi memegang jawatan itu.

“Kalau saya jadi perdana menteri semula — minta dijauhkan Tuhan — saya tahu beberapa perkara yang perlu saya lakukan.

“Walaupun saya bukan perdana menteri, jika kerajaan (kini) sudi mendengar orang tua ini, saya sedia berkongsi beberapa idea,” katanya lagi.

Larangan 3R terlalu umum, kerajaan tiada hak untuk melarang

Pada 2023, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata kerajaan tidak berhak untuk melarang mana-mana pihak membicarakan isu berkenaan 3R kerana larangan tersebut terlalu umum.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik Tun M di Facebook pada bulan Ogos 2023 itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa membelakangkan undang-undang.

“Ramai juga yang menyoal kenapa saya marah sangat terhadap larangan bercakap berkenaan 3R – iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).

“Bukankah kerajaan berhak melarang sesuatu. Tidak. Kerajaan tidak boleh larang apa-apa melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara,” tulisnya di kapsyen.

Source: