
KUALA KANGSAR – Taktik dua rakan menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeras ugut orang awam membawa padah apabila masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohamad Ridzuan Dahalan, 34, dan Khairul Alamin Mohamed Daud, 35, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan terhadap Mohamad Pandak, 59, dengan mendorongnya menyerahkan wang sebanyak RM2,000.
Perbuatan tersebut dilakukan di kawasan Chalet Jok Maduh D’Kenang, Kampung Kenang Baru, Jalong Tinggi, Sungai Siput (U) pada pukul pukul 9 pagi, 30 Julai 2026.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mereka juga didakwa bagi pertuduhan kedua iaitu menyamar dengan memegang jawatan sebagai penjawat awam iaitu Penolong Kesihatan KKM di waktu dan lokasi yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chan Hong Yan.
Terdahulu ketika mitigasi, kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan telah berkahwin dan mempunyai tanggungan tiga anak selain ia merupakan kesalahan pertama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama selain dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didenda RM2,000 setiap seorang atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda. – KOSMO! ONLINE
The post Menyamar pegawai KKM dan peras orang awam, dua rakan didenda RM7,000 appeared first on Kosmo Digital.





