Dua lelaki menyamar pegawai KKM didenda RM7,000

14 Aug 2026 • 3:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua lelaki menyamar pegawai KKM didenda RM7,000

KUALA KANGSAR: Taktik dua rakan menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan untuk memeras ugut orang awam mengundah padah apabila masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Ridzuan Dahalan, 34, dan Khairul Alamin Mohamed Daud, 35, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan terhadap Mohamad Pandak, 59, dengan mendorongnya menyerahkan wang sebanyak RM2,000 di kawasan Chalet Jok Maduh D’Kenang, Kampung Kenang Baru, Jalong Tinggi, Sungai Siput (U) pada pukul pukul 9 pagi, 30 Julai lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mereka juga didakwa bagi pertuduhan kedua iaitu menyamar dengan memegang jawatan sebagai penjawat awam iaitu Penolong Kesihatan KKM di waktu dan lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chan Hong Yan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama selain dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didenda RM2,000 setiap seorang atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda. – UTUSAN

The post Dua lelaki menyamar pegawai KKM didenda RM7,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved