KOTA BHARU – Taktik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar bersembunyi di dalam semak sementara menunggu diangkut sindiket penyeludupan terbongkar apabila ditahan dalam Ops Serkap di Jalan Kebun Sultan dan Kampung Tal Tujuh di sini awal pagi Khamis.
Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Garry Belayong Anak John Siki berkata, operasi kira-kira jam 6 pagi itu hasil risikan dan pemantauan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan.
“Hasil pemantauan, kami mengesan tiga kenderaan yang dipercayai digunakan sindiket untuk mengangkut PATI iaitu Toyota Yaris, Honda Jazz dan Honda CR-V.
“Seramai lima lelaki dan enam perempuan warga Myanmar ditemui dipercayai sedang menunggu untuk diangkut ke luar Kelantan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar turut membawa kepada penemuan sekumpulan warga Myanmar yang bersembunyi di dalam semak bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Seramai 24 warga Myanmar terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh wanita ditemui bersembunyi di semak itu dan sedang menunggu untuk diangkut keluar dari lokasi berkenaan.
“Secara keseluruhan, seramai 35 warga Myanmar terdiri daripada 22 lelaki dan 13 wanita berusia antara 23 hingga 41 tahun ditahan dalam operasi ini,” katanya.
**media[3549546]**
Menurut beliau, dua lelaki warga tempatan berusia 33 dan 45 tahun turut ditahan kerana disyaki menjadi dalang serta memudahkan kegiatan penyeludupan migran tersebut.
Katanya, seramai 14 pegawai imigresen digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran yang dipercayai aktif di kawasan berkenaan.
“Kesemua PATI ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala dua lelaki tempatan disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
Garry Belayong berkata, semua tahanan serta tiga kenderaan yang dirampas dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menegaskan bahawa JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk rakyat tempatan yang didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau melindungi PATI.
“Operasi ini jelas menunjukkan komitmen berterusan JIM dalam membanteras sindiket penyeludupan migran yang masih cuba menjadikan rakyat tempatan sebagai penggerak utama,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan PATI di kawasan masing-masing.




