
SUNGAI PETANI – Sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz milik seorang peniaga yang dilarikan dari rumahnya di Taman Seri Jenaris, Tikam Batu, di sini awal pagi semalam berjaya ditemukan semula, petang ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kenderaan itu ditemukan di kawasan Merbok, dekat sini yang terletak kira-kira 35 kilometer dari rumah mangsa.
Kata beliau, peti besi yang turut dilarikan dalam kejadian pecah masuk tersebut bagaimanapun masih belum ditemukan.
“Kereta telah ditemui, namun peti besi masih belum ditemukan dan usaha mengesan sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang peniaga kerugian kira-kira RM550,000 selepas kediamannya di Taman Seri Jenaris dipecah masuk sebelum peti besi dan sebuah kereta mewah dilarikan penjenayah awal pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa keluar menguruskan urusan perniagaan dan rumahnya tidak berpenghuni.
Mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas pulang ke rumah pada tengah hari semalam. – KOSMO! ONLINE
The post Mercedes sudah jumpa, peti besi masih dicari appeared first on Kosmo Digital.




