amree04/08/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – Isu gangguan berterusan bekalan makanan ternakan akibat konflik di Timur Tengah dikhuatiri terus menekan margin keuntungan MAG Holdings Berhad dalam tempoh terdekat.
Menurut Mercury Securities, peningkatan kos penghantaran dan kelewatan bekalan dedak masih belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih, namun firma itu menilai prospek jangka panjang kekal positif.
Ujarnya, pertumbuhan hasil dilihat masih kukuh, disokong pengembangan kapasiti pengeluaran, kadar pertukaran asing (forex) serta sumbangan daripada pembukaan kilang baharu di Shanghai, China.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham MAG dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 18 sen daripada 15 sen selepas menyemak unjuran keuntungan FY27 naik sebanyak 17%," katanya.
Tambah Mercury Securities, margin kasar susut kepada 15% pada suku pertama FY26 berbanding 26.6% setahun lalu, didorong kenaikan kos utiliti, caj penghantaran serta ketidaktentuan harga dedak.
Katanya, sekitar 40% bekalan makanan ternakan kumpulan diperoleh dari luar negara, menyebabkannya terdedah kepada gangguan rantaian stok global sejak laluan perkapalan di Timur Tengah terjejas.

Situasi itu meningkatkan kos logistik dan melambatkan penghantaran sehingga dua bulan, dengan MAG meningkatkan stok simpanan dedak daripada sebulan kepada dua bulan bagi mengurangkan tahap risiko.
"Bagaimanapun, langkah itu mencetuskan masalah baharu pula apabila berlaku kemerosotan kualiti makanan akibat tempoh penyimpanan yang lebih lama berbanding kelaziman," jelas Mercury Securities.
Walaupun berdepan tekanan terhadap margin, hasil syarikat melonjak 41.6% tahun ke tahun (YoY) pada tempoh suku pertama FY26, disokong pertambahan kapasiti ladang serta harga jualan purata (ASP).
Kata firma itu, peningkatan operasi turut menjana pertumbuhan pengeluaran dan kadar penggunaan kilang pemprosesan, manakala MAG berjaya mengekalkan pelanggan walaupun menaikkan ASP lebih 10%.
Dalam pada itu ujar Mercury Securities, kilang di Shanghai bakal menghasilkan produk makanan sedia dimasak, dengan pengeluaran bermula akhir bulan ini sebelum operasi penuh pada suku keempat FY26.
"Kami menganggarkan kilang ini mampu menyumbang hasil RM30 juta pada FY26 dan RM45 juta pada FY27 berdasarkan kadar penggunaan konservatif, yang menjadi pertumbuhan baharu kumpulan," jelasnya.
Ia berpandangan MAG memiliki asas perniagaan kukuh sebagai antara peneraju akuakultur bersepadu negara dengan disokong permintaan eksport udang premium serta operasi semakin cekap. - DagangNews.com






