liza10/08/2026 - 12:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Mercury Securities menurunkan penarafan saham Nextgreen Global Berhad (NGGB) kepada ‘Pegang’ daripada ‘Beli’ dan mengurangkan unjuran keuntungan teras syarikat masing-masing sebanyak 38% bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dan 30% bagi FY27.
Firma penyelidikan itu berkata prospek jangka panjang Nextgreen masih positif menerusi model perniagaan bersepadu yang menukarkan sisa kelapa sawit kepada produk bernilai seperti pulpa, baja bio dan produk berkaitan.
“Namun, peningkatan keuntungan dijangka berlaku lebih perlahan daripada jangkaan sebelum ini susulan kelewatan beberapa projek utama, termasuk kemudahan makanan haiwan dan projek pulpa NeuWhite.
“Kami menurunkan jangkaan keuntungan bersih teras Nextgreen sebanyak RM52 juta bagi FY26 dan RM73 juta bagi FY27, berbanding anggaran terdahulu yang lebih tinggi.
“Susulan semakan itu juga, kami menurunkan harga sasaran saham Nextgreen kepada RM0.75 daripada RM0.85,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya.
Projek Utama Ambil Masa Lebih Lama
Mercury Securities berkata, kilang pulpa tandan buah kosong (EFB) milik Nextgreen sedang diperluaskan kepada kapasiti 15,000 tan metrik setahun daripada 10,000 tan metrik ketika ini, dengan kerja naik taraf dijangka siap sekitar Oktober hingga November 2026.
Kapasiti itu bagaimanapun lebih rendah daripada anggaran terdahulu sebanyak 25,000 tan metrik setahun. Kerja naik taraf berkenaan juga berpotensi menjejaskan pengeluaran pada FY26, manakala sumbangan penuh daripada kapasiti baharu dijangka lebih ketara mulai FY27.
Menurut Mercury Securities, permintaan terhadap pulpa EFB masih kukuh kerana produk berkenaan boleh menjadi alternatif tempatan kepada pulpa kayu yang diimport.
“Penggunaan sumber tempatan itu juga berpotensi memberikan penjimatan kos penghantaran sekitar AS$50 hingga AS$60 bagi setiap tan.
“Bagi projek NeuWhite pula, kilang pulpa berkapasiti 150,000 tan metrik setahun itu kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama Nextgreen dalam jangka sederhana. Namun, tempoh pengkomersialannya kini dilihat beralih ke sekitar 2028,” katanya.
Projek bernilai kira-kira RM900 juta itu mendapat sokongan IOI Corporation dari segi bahan mentah dan infrastruktur, manakala Xiamen C&D terlibat dalam pemerolehan peralatan, pembiayaan, pemasaran dan potensi pembelian hasil pengeluaran.
NexBooster Jadi Pemacu Pertumbuhan Terdekat
Dalam pada itu, Mercury Securities melihat perniagaan baja bio cecair NexBooster sebagai antara pemacu pertumbuhan dan keuntungan terdekat Nextgreen, memandangkan bahan mentahnya diperoleh daripada sisa operasi pulpa syarikat.
Nextgreen turut membangunkan NexBooster dalam bentuk serbuk, dengan mesin pengeluaran dijangka tiba sekitar September 2026. Produk dalam bentuk serbuk itu berpotensi mengurangkan kos penyimpanan dan pengangkutan, selain memudahkan usaha menembusi pasaran eksport.
Ujian lapangan yang dijalankan di beberapa kawasan turut menunjukkan perkembangan menggalakkan. Antaranya, ujian padi FELCRA merekodkan peningkatan hasil antara 12.1% hingga 43%, manakala ujian MADA di Perlis mencatatkan hasil 6.3 tan sehektar berbanding 5.4 tan bagi tanaman kawalan, iaitu peningkatan 17%.
Ujian Wilmar di Jawa Timur pula menunjukkan peningkatan hasil antara 4.75% dan 8.78%, manakala ujian ke atas kelapa sawit menunjukkan peningkatan kira-kira 2.5 mata peratusan dalam nisbah minyak kepada tandan, selain berat tandan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, Mercury Securities berkata ujian yang lebih luas dan seragam masih diperlukan sebelum keputusan itu dianggap muktamad.
Bagi pasaran eksport, Libya, Ghana dan beberapa negara Afrika lain dilihat mempunyai potensi jangka panjang untuk produk baja Nextgreen. Namun, sumbangan hasil masih bergantung kepada kelulusan kawal selia, pesanan pembelian, jadual penghantaran dan mekanisme pembayaran, dengan jumlah eksport dijangka mula menyumbang sekitar suku keempat FY26 atau lebih awal.
Sumbangan Makanan Haiwan Lebih Rendah, Keperluan Modal Meningkat
Sementara itu, kilang makanan haiwan pertama Nextgreen berkapasiti 10,000 tan setahun dijangka mula beroperasi sekitar Oktober hingga November 2026, sebelum berpotensi diperluaskan kepada 50,000 tan setahun.
Jadual operasi yang lewat itu bermakna projek berkenaan dijangka tidak memberikan sumbangan ketara kepada hasil FY26.
Sebelum ini, Mercury Securities mengunjurkan sumbangan hasil sekitar RM90 juta berdasarkan kapasiti 50,000 tan setahun, tetapi anggaran tersebut kini dikeluarkan daripada unjuran FY26.
Mercury Securities turut mengekalkan anggaran margin keuntungan kasar dan keuntungan sebelum cukai masing-masing pada 70% dan 59% bagi FY26 serta FY27. Pada masa sama, kadar cukai efektif dianggarkan lebih rendah pada 3% bagi FY26 dan 5% bagi FY27 berikutan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun yang layak bagi perniagaan pulpa dan baja.
Firma itu berkata kira-kira 92% daripada hasil FY26 dan 81% hasil FY27 dijangka datang daripada perniagaan pulpa dan baja yang menikmati pengecualian cukai berkenaan, sekali gus membantu mengurangkan kesan daripada semakan turun unjuran keuntungan.
Bagaimanapun, keperluan perbelanjaan modal yang besar kekal sebagai risiko utama kepada Nextgreen. Pengurusan mengunjurkan perbelanjaan modal sekitar RM80 juta setiap tahun bagi FY26 dan FY27, manakala Mercury Securities menjangka pembiayaan projek, sumbangan rakan strategik dan kemungkinan penerbitan ekuiti tambahan diperlukan bagi menyokong rancangan pengembangan kumpulan.
Dengan tunai RM11.3 juta dan pinjaman RM161.4 juta pada akhir Mac 2026, Mercury Securities melihat keperluan pembiayaan serta potensi pencairan pegangan pemegang saham sebagai antara risiko utama.
Secara keseluruhan, firma itu masih mengiktiraf potensi jangka panjang Nextgreen sebagai perintis penyelesaian menukarkan sisa kelapa sawit kepada produk bernilai, tetapi perkembangan keuntungan dijangka lebih beransur-ansur dan memerlukan modal yang besar. - DagangNews.com






