Merdeka bukan sekadar Ogos

LocalOpinion
21 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Merdeka bukan sekadar Ogos

TANGGAL 31,

Bulan lapan, 57,

Merdeka, merdeka,

Tetaplah merdeka,

Ia pasti menjadi sejarah…

 

Kehangatan lagu patriotik bersama lirik dan melodinya begitu dekat dengan jiwa rakyat Malaysia. Setiap kali Ogos menjelma, lagu-lagu bersemangat kebangsaan mula berkumandang di sekolah, prasekolah, warung, kedai makan, pusat beli-belah serta corong radio dan televisyen.

Tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan, rakyat bersama-sama menghayati lagu yang membangkitkan rasa cinta kepada tanah air.

Kedatangan bulan kemerdekaan turut mengubah suasana di seluruh negara, dari utara hingga ke Sabah dan Sarawak. Jalur Gemilang dikibarkan di bangunan kerajaan, premis perniagaan, sekolah, rumah kediaman dan sepanjang jalan. Media sosial pula menjadi ruang untuk rakyat berkongsi ucapan serta mesej sempena Hari Kebangsaan.

Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada persoalan yang perlu kita fikirkan, mengapa semangat kemerdekaan begitu terasa apabila Ogos tiba, tetapi semakin kurang kelihatan selepas bulan tersebut berlalu? Adakah kemerdekaan hanya perlu diraikan setahun sekali?

Hakikatnya, kemerdekaan bukan sekadar tarikh dalam kalendar atau peristiwa sejarah yang dikenang setiap tahun. Ia ialah nilai yang perlu diterjemahkan melalui cara kita menjalani kehidupan, melaksanakan tanggungjawab dan menjaga negara. 

Sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya menjadi ruang untuk kita mengingati sejarah serta memperbaharui kesedaran tentang tanggungjawab sebagai rakyat.

Kita tidak boleh melupakan harga yang dibayar oleh generasi terdahulu untuk membolehkan negara berdiri sebagai sebuah bangsa yang merdeka. Perjuangan itu menuntut pengorbanan tenaga, masa, harta benda, malah nyawa. 

Ada yang melalui keperitan hidup, kehilangan keluarga dan berdepan kekejaman penjajah demi memastikan generasi selepas mereka dapat menikmati keamanan.

Malangnya, kemerdekaan yang diwarisi lebih tujuh dekad kadangkala dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Generasi hari ini lahir dalam keadaan bebas dan aman, menyebabkan pengalaman pahit zaman penjajahan semakin jauh daripada kehidupan mereka.

 

 

PATRIOTISME JANGAN BERMUSIM 

Sebab itu, patriotisme tidak boleh hanya diukur melalui jumlah bendera yang dikibarkan atau berapa kali lagu patriotik dimainkan. Selepas Ogos berakhir, apakah yang tinggal dalam diri kita? Jika Jalur Gemilang diturunkan dan lagu patriotik tidak lagi berkumandang, semangat cintakan negara juga tidak sepatutnya ikut berakhir.

Kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui tindakan. Kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab. Kebebasan memilih perlu digunakan dengan bijaksana. Keharmonian pula perlu dipelihara tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan latar belakang.

Dalam kehidupan seharian, semangat itu boleh ditunjukkan melalui perkara mudah seperti bekerja dengan amanah, mematuhi undang-undang, menghormati orang lain, menjaga kebersihan serta membantu mereka yang memerlukan. 

Menolak rasuah, membanteras diskriminasi dan tidak bersikap pentingkan diri juga merupakan sebahagian daripada usaha mempertahankan nilai kemerdekaan.

Cabaran hari ini pula jauh berbeza daripada zaman perjuangan menuntut kemerdekaan. Globalisasi, perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pengaruh media sosial membawa pelbagai manfaat tetapi turut memberi cabaran terhadap identiti serta nilai masyarakat. Anak muda terdedah kepada pelbagai budaya dan pemikiran dari seluruh dunia. Tanpa asas yang kukuh, identiti nasional boleh semakin terhakis.

Dalam keadaan ini, pendidikan mempunyai peranan penting. Sekolah dan institusi pengajian tinggi tidak seharusnya menjadikan patriotisme sebagai aktiviti bermusim. Program sambutan Hari Kebangsaan seperti pertandingan lagu, pakaian tradisional, hiasan kelas dan persembahan berkaitan sejarah memang baik, tetapi penghayatan tidak seharusnya berhenti apabila Ogos berakhir.

Pengajaran sejarah juga perlu disampaikan dengan cara yang lebih dekat dengan kehidupan generasi muda. Sekolah boleh menghidupkan ruang sejarah, menyediakan pameran tokoh tempatan dan memperkenalkan kisah perjuangan yang berlaku di kawasan masing-masing. 

Tokoh sejarah, pejuang kemerdekaan atau individu yang mempunyai pengalaman berkaitan boleh dijemput berkongsi cerita secara langsung dengan pelajar.

Kaedah sebegini mampu menjadikan sejarah lebih hidup. Pelajar bukan sekadar menghafal tarikh dan nama tokoh tetapi memahami sebab kemerdekaan diperjuangkan serta nilai yang perlu dipertahankan.

Media juga mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran masyarakat. Kandungan berkaitan sejarah, patriotisme dan perpaduan tidak seharusnya memenuhi ruang siaran hanya pada Ogos. Filem, drama, dokumentari dan kandungan digital boleh digunakan sepanjang tahun untuk menyampaikan mesej yang membina rasa cinta terhadap negara.

Pada masa sama, perpaduan perlu terus menjadi asas kehidupan masyarakat Malaysia. Kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan alasan untuk kita menjauhkan diri, sebaliknya kekuatan yang perlu dipelihara. Kemerdekaan akan kehilangan maknanya jika rakyat masih mudah berpecah kerana perbezaan yang boleh diselesaikan melalui sikap saling menghormati.

Pemimpin juga mempunyai tanggungjawab besar. Rakyat memerlukan contoh, bukan sekadar ucapan. Integriti, kejujuran, keadilan dan kesungguhan menjaga kepentingan rakyat merupakan antara bentuk patriotisme yang paling jelas. Pemimpin yang menunjukkan teladan baik akan lebih mudah membina keyakinan masyarakat.

Sambutan Hari Kebangsaan tetap penting kerana mengingatkan kita kepada sejarah dan pengorbanan generasi terdahulu. Namun, sambutan itu sepatutnya menjadi permulaan kepada penghayatan yang berterusan, bukan kemuncak kepada semangat yang hanya muncul setahun sekali.

Akhirnya, persoalan tentang kemerdekaan perlu kembali kepada diri sendiri. Apakah yang kita lakukan dengan kebebasan yang diwarisi? Apakah sumbangan kita kepada negara? Dan apakah yang akan kita tinggalkan untuk generasi selepas kita?

Kemerdekaan bukan sekadar Jalur Gemilang, lagu patriotik atau sambutan pada 31 Ogos. Ia adalah amanah yang perlu dijaga setiap hari. Jika rasa cinta kepada negara diterjemahkan melalui tindakan, tanggungjawab dan perpaduan, kemerdekaan tidak akan menjadi sekadar kenangan sejarah, sebaliknya terus hidup dalam diri setiap rakyat Malaysia. –UTUSAN

 

PENULIS Pensyarah Bahasa Inggeris Jabatan Sastera Ikthisas dan Sains Sosial Kolej Matrikulasi Pahang.

The post Merdeka bukan sekadar Ogos appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved