SHAH ALAM - Empat rakan masing-masing didenda RM2,900 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana terlibat dalam rusuhan menggunakan senjata parang pada 13 Ogos lepas.
Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin turut memerintahkan R. Karthik, 33; R. Joseph Omar Shankar, 39; Pandian, 25, dan C. Visvaraj, 24, dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda. Mereka membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa mengambil bahagian dalam rusuhan menggunakan parang di Jalan Bukit Kemuning, Taman Sri Muda di sini jam 11 pagi pada 13 Ogos lepas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari.
Ketika rayuan, Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili Karthik dan Omar Shankar manakala M. Partiben yang mewakili Pandian dan Visvara memohon dikenakan hukuman berbentuk denda terhadap anak guam mereka kerana keempat-empat tertuduh merupakan mangsa ketika kejadian itu.
Pada 14 Ogos lepas, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah dilaporkan berkata seorang lelaki warga tempatan cedera parah selepas dipercayai ditetak dengan parang dalam pergaduhan berhampiran stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning, Sri Muda di sini pada 13 Ogos. - Bernama




