
Meta sebelum ini sedia menawarkan model kecerdasan buatan dinamakan Llama dalam bentuk sumber terbuka, sekaligus membolehkan sesiapa yang berminat menggunakannya dalam pembangunan. Namun, pada masa yang sama, sebelum ini ia dilaporkan Meta sedang melihat kembali ke penawaran mereka, dan mungkin tidak menawarkan model AI dalam bentuk sumber terbuka.
Model AI baharu Meta dijangka diperkenalkan dalam masa terdekat ini, dan dijangka menyasarkan pengguna awam, berbeza dengan sasaran OpenAI dan Anthropic yang mengejar pengguna perusahaan. Untuk makluman, Meta sedia mengambil-alih Manus yang memfokuskan kepada penawaran perusahaan, dan dilihat menggunakan model AI berbeza buat masa ini.
Mengikut laporan terbaru, Meta dijangka memperkenalkan model AI baharu mereka sebahagiannya dalam bentuk sumber terbuka, dan sebahagian lagi tidak. Strategi berbentuk hibrid ini dijangka membolehkan Meta mempunyai kelebihan berbanding sebelum ini.
Buat masa ini, tarikh pelancaran model AI baharu ini tidak diketahui lagi. Ramai menantikan pengenalannya, memandangkan ia akan menjadi model pertama diperkenalkan Meta selepas penubuhan bahagian Meta SuperIntelligence dengan fokus terhadap kecerdasan buatan, termasuk mendapatkan pelbagai bakat dalam menyertai pasukan berkenaan.


