amree02/10/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Meta melantik Dhruv Vohra sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Perniagaan Global bagi Asia Tenggara ketika rantau ini terus menyaksikan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), mesej perniagaan, jualan langsung dan perdagangan sosial.
Pelantikan tersebut meletakkan beliau sebagai peneraju strategi komersial syarikat penyedia teknologi komunikasi maklumat (ICT) antarabangsa itu bagi enam pasaran utama rantau berkenaan iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Vohra menurut kenyataan Meta, akan memberi tumpuan membantu lebih banyak perniagaan di Asia Tenggara memanfaatkan teknologi AI dan pemesejan bagi memenuhi perubahan tingkah laku serta jangkaan pelanggan yang semakin pantas.
"Asia Tenggara merupakan antara rantau perniagaan Meta yang berkembang paling pantas, sekali gus membuka ruang lebih besar untuk syarikat membantu perniagaan memanfaatkan AI dan pemesejan," kata Naib Presiden Meta bagi Asia Pasifik, Benjamin Joe.
Jelasnya, Vohra mempunyai pengalaman selama tujuh tahun bekerjasama dengan perniagaan di rantau ini serta membangunkan pasukan yang menyokong jutaan syarikat tempatan.
Beliau menyertai Meta pada 2019 sebagai Pengarah bagi e-dagang dan syarikat digital sebelum menerajui pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara.
Skop tanggungjawabnya kemudian diperluaskan ke seluruh Asia Pasifik, memberi pengalaman lebih luas dalam membangunkan perniagaan digital serta ekosistem perdagangan dalam talian di rantau tersebut.
Joe menambah, Asia Tenggara kekal sebagai antara pasaran digital paling dinamik di dunia, dengan trend seperti pemesejan perniagaan dan jualan langsung berkembang lebih awal dalam kalangan pengguna serta perniagaan rantau ini.
"Setiap pasaran di Asia Tenggara mempunyai corak dan dinamik tersendiri, manakala perniagaan yang berkembang pantas kini semakin mampu melangkaui sempadan pasaran asal mereka," ujar beliau.
Di samping itu katanya, perkembangan AI pula membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk berhubung dengan pelanggan serta mengembangkan operasi mereka dalam pasaran serantau.
Selain pengalaman dalam pembangunan perniagaan, Vohra turut menyumbang kepada penyelidikan Meta mengenai pengguna digital dan landskap e-dagang Asia Tenggara, termasuk menerusi siri kepimpinan pemikiran SYNC Southeast Asia. - DagangNews.com






