Adakah anda seorang kakitangan yang jujur dengan majikan? Sekiranya tidak berita hari ini mungkin boleh dijadikan iktibar selari dengan Jumaat sebagai penghulu segala hari. Menurut Financial Times, Meta telah memecat 25 orang kakitangan yang didapati menyeleweng elaun makan yang diterima setiap hari.

Kakitangan Meta diberikan elaun $20 untuk makan pagi, $25 untuk makan tengah hari dan $25 lagi untuk makan malam setiap hari. Tetapi kakitangan yang dipecat didapati menyeleweng dana yang diterima untuk membeli barangan untuk kegunaan rumah seperti gelas dan pembersih muka. Menggunakan kredit untuk membeli makanan ketika di rumah juga tidak dibenarkan kerana ia khusus untuk kegunaan pejabat.
25 bekas kakitangan ini didapati menyeleweng elaun makan dengan kerap. Kakitangan lain yang tidak melakukannya dengan kerap sekadar diberikan amaran oleh pihak pengurusan. Mark Zuckerberg mengatakan puluhan ribu pekerja Meta perlu dibuang bagi menjadikan syarikat lebih efisien. Siapa sangka hanya kerana menyeleweng elaun makan, terus hilang mata pencarian di Meta.



