Meta sebelum ini menawarkan cermin mata pintar mereka dengan kerjasama EssilorLuxottica, menerusi jenama Ray-Ban dan Oakley. Selari dengannya, Meta terus meningkatkan pelaburan pada arena peranti boleh-pakai ini, dan kini turut melancarkan cermin mata berjenama mereka tersendiri, dinamakan Meta Glasses.

Meta Glasses masih dibangunkan dengan kerjasama EssilorLuxottica, tetapi tidak menggunakan penjenamaan lain untuk memasarkannya, dan terus bergantung kepada jenama Meta sepenuhnya. Namun, seperti sebelum ini, cermin mata pintar ini tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia buat masa ini.
Meta Glasses dilengkapi kamera pada bahagian hadapan, integrasi speaker, dan juga sebuah butang tambahan.. Butang ini boleh digunakan untuk mengaktifkan Meta AI atau diubah untuk melancarkan aplikasi atau ciri tertentu. Dengan butang ini, pengguna boleh memulakan rakaman, mendengar lagu, menyeru Meta AI, dan mendapatkan respon segera melaluinya. Cermin mata pintar ini menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 8 jam, dan atau sehingga 40 jam menerusi kotak simpanan.

Di bawah Meta Glasses ini, tiga bingkai ditawarkan iaitu Meta Adventurer, Meta Fury dan Meta Glasses by Kylie dengan tujuh konfigurasi berbeza. Meta AI yang disertakan juga adalah berasaskan kepada model terkini yang diperkenalkan Meta baru-baru ini. Di Amerika Syarikat, Meta Glasses ini ditawarkan pada harga bermula $299 (~RM 1238), yang jauh lebih murah berbanding Ray-Ban Meta ($499), Oakley Meta Vanguard ($499) dan Oakley Meta HSTN ($399).

Dengan harga lebih kompetitif ini, Meta Glasses akan dapat mencapai lebih ramai pengguna, sekaligus terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena cermin mata pintar yang dijangka menjadi arena baharu untuk persaingan dalam kalangan para pengeluar peranti seluruh dunia – apatah lagi dengan perkembangan era kecerdasan buatan kini.




