
Meta kini hadir dengan sistem pengesahan umur dikuasakan AI bagi memastikan pengguna remaja hanya mendapat pengalaman digital yang sesuai dengan umur mereka sekali gus mengurangkan risiko akaun bawah umur. Proses baharu ini dibina daripada kaedah sedia ada seperti mengimbas profil pengguna untuk mengenal pasti sambutan hari lahir atau sebutan gred sekolah.

Ciri ini menggabungkan analisis teks dan imej untuk mengenal pasti akaun yang mungkin dimiliki oleh individu bawah umur. Teknologi AI akan memeriksa profil termasuk catatan sambutan hari lahir, serta menilai petunjuk imej seperti ketinggian dan bentuk badan. Meta menegaskan bahawa teknologi ini bukan pengecaman wajah, sebaliknya hanya menilai petunjuk umum bagi menganggarkan umur pengguna. Akaun yang dikenal pasti sebagai bawah umur akan dinyahaktif dan pemilik perlu melalui proses pengesahan umur sebelum boleh menggunakan semula platform.

Selain itu, Meta turut memperluaskan fungsi perlindungan untuk Teen Accounts dengan menambah ciri keselamatan terbina, termasuk mengehadkan perbualan dan kandungan yang boleh diakses oleh remaja. Meta turut menekankan peranan ibu bapa sebagai rakan utama dalam memastikan keselamatan anak-anak.
Di Amerika Syarikat, notifikasi akan dihantar kepada ibu bapa melalui Facebook dan Instagram untuk membantu mereka menyemak serta mengesahkan umur remaja di samping menyediakan panduan berbincang tentang kepentingan maklumat umur yang tepat dalam talian.
Dari sudut dasar pula, Meta mencadangkan agar kedai aplikasi diwajibkan mengesahkan umur pengguna secara pusat. Langkah ini sekali gus diharap dapat membantu memperkukuh ekosistem digital yang lebih selamat untuk golongan muda.





